PN tolak MoU peruntukan pembangkang

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang telah membuat ketetapan menolak Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.

Menurutnya, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

"Kami telah menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan, iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan parti PN serta di antara Kerajaan Malaysia dengan kesemua Ahli Parlimen PN.

"Bagaimanapun, kami membuat ketetapan menolaknya kerana beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Draf MoU tersebut turut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai-nilai tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hamzah menambah, draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.

Selain itu, ia turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen, sedangkan setiap daripada mereka mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, PN mahu mengingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut," jelasnya.

Sinar Harian difahamkan, dokumen perjanjian itu mempunyai 11 obligasi atau perkara yang perlu dipenuhi dalam draf MoU tersebut.

Dalam satu daripada klausa yang ditetapkan ialah PN perlu mengakui dan menyatakan komitmen bahawa setiap ahli Parlimen menahan diri dari membuat kenyataan, ucapan atau percubaan secara lisan atau bukan lisan yang bersifat kebencian.

Mereka juga dilarang untuk menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada dasar agama, kaum, etnik warna kulit, asal-usul, jantina atau faktor identiti yang lain.

Selain itu, perkara yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan pemimpin PN ialah tidak ada sebarang jumlah peruntukan yang disebut dalam perjanjian tersebut yang menyebabkan ia disifatkan sebagai kabur.

Turut terkandung dalam syarat itu ialah ahli Parlimen pembangkang perlu membuat aku janji untuk mengemukakan pengisytiharan harta dalam tempoh 14 hari dari tarikh MoU berkenaan ditandatangani.

Selain itu, PN juga perlu mengakui dan isytihar bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan dan menggalakkan penghormataan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!