Tenom lubuk durian 'rare'

Isi durian sukang berwarna kekuning-kuningan dijual di Tamu Tenom.
Isi durian sukang berwarna kekuning-kuningan dijual di Tamu Tenom.
A
A
A

TENOM - Durinya lebih panjang dan tajam, isinya berwarna kekuning-kuningan manakala rasanya pula lebih manis berbanding durian dalit yang berlemak.

Sukang atau dikenali sebagai kotungon bagi suku kaum Murut di Tenom dan buah ini dikategorikan sebagai sejenis durian hutan.

Sukang juga boleh dikatakan antara durian 'rare' kerana sukar ditemui di beberapa daerah lain di Sabah tetapi lebih mudah didapati di kawasan pedalaman.

Penulis baru-baru ini berkesempatan berkunjung ke Tamu Tenom (pasar minggu) dan menemubual sendiri penjaja yang membawa hasil kampung untuk dijual di tamu tersebut.

Antara yang dibawa oleh penduduk kampung termasuklah sukang yang ketika ini sedang rancak berbuah di Tenom.

Jumiati menunjukkan sukang antara yang dijualnya di Tamu Tenom.
Jumiati menunjukkan sukang antara yang dijualnya di Tamu Tenom.

Menurut Jumiati Rabudin, 51, dari Kampung Angaluh, Kemabong, dia hanya menjual buah-buahan apabila musimnya tiba dan kali ini durian sukang mengeluarkan hasil yang banyak.

"Sebenarnya, sukang ada dua jenis iaitu yang isinya kekuning-kuningan lebih manis manakala satu lagi, isinya berwarna putih, rasanya pahit-pahit dan manis tetapi kedua-duanya disukai ramai.

Artikel Berkaitan:

"Durian ini banyak di kawasan pedalaman, kalau dulu hanya ditemui di kawasan hutan. Tetapi sekarang sudah ada yang menanamnya, saya sendiri ada empat pokok durian sukang.

Isi durian sukang berwarna kekuning-kuningan dan rasanya pula lebih manis berbanding durian dalit yang berlemak.
Isi durian sukang berwarna kekuning-kuningan dan rasanya pula lebih manis berbanding durian dalit yang berlemak.

"Durian dalit pun ada juga cuma rasanya tawar dan berlemak tetapi tetap ada yang meminatinya," katanya Ketika ditemui di Tamu Tenom, baru-baru ini.

Katanya lagi, buah durian yang ditanamnya mulai gugur sekitar awal Ogos sehingga September dan dijual di tamu di daerah itu untuk menambah pendapatannya yang hanya bekerja sebagai penoreh getah.

"Musim buah-buahan saja saya akan turun berniaga, kebetulan sekarang musim durian jadi saya bawalah sukang dan dalit untuk dijual.

"Harganya di sini lebih murah iaitu RM10 untuk tiga biji tetapi ada juga buah lain yang dijual termasuk mata kucing dan langsat.

"Bolehlah sekadar untuk menambah pendapatan kami sekeluarga," katanya.

Tenom Beauty salah satu durian yang hanya boleh ditemui di Tenom dan dijual oleh Andipas di Tamu Tenom.
Tenom Beauty salah satu durian yang hanya boleh ditemui di Tenom dan dijual oleh Andipas di Tamu Tenom.

Seorang lagi peniaga Andipas Ambatit, 55, memberitahu durian yang dijualnya iaitu Tenom Beauty hanya ada di Tenom saja.

"Bibit durian ini diperoleh daripada Jabatan Pertanian lebih 10 tahun lalu dan memang dinamakan sebagai Tenom Beauty.

"Bentuknya lebih besar seperti durian putih tetapi isinya tebal dan berwarna merah seperti dalit dan rasanya lebih manis serta berlemak.

"Durian ini tidak gugur sendiri tetapi perlu dijolok dan diperam selama sehari sehingga ia masak," katanya.

Pokoknya berbunga pada Mei lalu dan apabila berbuah ia akan gugur sekitar bulan Ogos.

"Kalau di tamu ini kami jual dengan harga RM18 bagi satu kilogram," katanya.

Seorang pengunjung Jasman Jaafar, 49, memberitahu bahawa durian itu memang berasal dari Tenom dan mulai dijual di daerah lain di negeri ini.

"Saya memang tahu durian ini memang dikeluarkan dari daerah ini tetapi saya difahamkan Jabatan Pertanian telah mengedarkan ke daerah lain.

"Durian ini campuran dalit dengan durian putih. Saya sendiri ada menanamnya tetapi belum lagi berbuah, mungkin tahun depan boleh sudah hasilnya dituai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!