Kerajaan perlu segera noktahkan penyelewengan agama

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Zuraimy
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Zuraimy
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menangani isu berkaitan penyelewengan agama bagi memelihara kesucian Islam daripada pengaruh kesesatan yang cuba meracuni pemikiran masyarakat.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali berkata, jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang, organisasi yang menunggang atas nama agama dikhuatiri akan berkembang lebih banyak.

Menurutnya, perkara itu perlu dihentikan segera bagi memelihara kesucian agama Islam daripada tercemar.

“Segala yang terkait dengan penyelewengan agama perlu diatasi segera melalui penguatkuasaan yang tegas agar tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap agama Islam dan meracuni pemikiran dengan dakyah songsang.

“Kerajaan perlu bertindak tegas bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat bahawa apa sahaja elemen yang menggugat kesucian Islam perlu dinoktahkan segera. Islam itu indah jangan cemarinya dengan penunggang dan pelampau agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, timbul dakwaan terhadap syarikat GISB Holding (GISBH) yang dikaitkan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, menurut Zuraimy, isu berkaitan GISBH perlu dirungkai dengan segera bagi menangkis persepsi masyarakat terhadap keupayaan pihak berkuasa menangani isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ketangkasan bertindak mampu menyelamatkan lebih ramai umat Islam daripada terjebak dengan elemen songsang.

“Masyarakat di luar sana bimbang jika isu terkait dengan GISBH ini mempunyai unsur-unsur yang boleh diistilahkan ‘tunggang agama’ ataupun ‘penyebaran ajaran songsang’ demi mengaut keuntungan.

“Pihak risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun agensi penguat kuasa agama perlu mengatur tindakan pantas bagi membendung segala bentuk ancaman dan tidak membiarkan mana-mana pihak terlepas dari radar pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!