Kastam Kedah rampas minuman keras, rokok serbuan di dua negeri

Antara barangan disita pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam telah memeriksa sebuah premis tidak bernombor di kawasan Lembah Klang pada 29 Ogos lepas.
Antara barangan disita pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam telah memeriksa sebuah premis tidak bernombor di kawasan Lembah Klang pada 29 Ogos lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menumpaskan aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok dalam serbuan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang pada bulan lepas dan awal bulan ini.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam telah memeriksa sebuah premis tidak bernombor di kawasan Lembah Klang lebih kurang jam 1.05 pagi pada 29 Ogos lalu.

Beliau memaklumkan, pintu premis berkenaan didapati tidak berkunci semasa pemeriksaan dijalankan.

"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras dan rokok pelbagai jenis dan jenama dipercayai tak berkastam diletakkan di dalam premis tersebut.

"Susulan itu, barang yang disyaki tersebut disita dan dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati minuman keras dan rokok tersebut dikesan tidak mempunyai setem cukai.

"Minuman keras yang disita berjumlah 7,000 liter dan 1,000,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM353,284 yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM1,048,134.41," katanya.

Beliau memaklumkan, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan lokasi kawasan yang tidak bernombor sebagai stor penyimpanan barang tak berkastam dan dipercayai dijadikan sebagai tempat transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nor Izah, tiada tangkapan dilakukan memandangkan tiada individu yang tampil ke lokasi.

Sementara itu, Nor Izah berkata, sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar pula menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40 tahun bagi membantu siasatan dalam serbuan ke atas sebuah premis terletak di kawasan Bukit Mertajam lebih kurang jam 10 malam pada 2 September.

"Hasil pemeriksaan pasukan serbuan di premis tersebut menjumpai sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki menggunakan setem cukai palsu dan disimpan di dalam kontena di kawasan premis tersebut," katanya.

Beliau menyatakan, sindiket menghasilkan setem cukai palsu yang menyerupai setem cukai yang sah untuk mengelirukan masyarakat terutamanya pengguna supaya mempercayai bahawa minuman keras tersebut telah sah dibayar cukai.

Jelasnya, setem palsu tersebut mungkin melibatkan pencetakan atau penghasilan setem menggunakan teknologi cetakan moden dan ditampal pada botol minuman keras untuk memberi gambaran bahawa produk itu telah membayar cukai yang sepatutnya.

Beliau memaklumkan, barang yang disyaki tersebut disita dan dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi,jumlah minuman keras yang disita berjumlah 5,476 botol bersamaan dengan 2,120.60 liter dianggarkan bernilai RM161,474 yang melibatkan cukai sebanyak RM285,676.53.

"Siasatan ke atas warga asing mendapati beliau adalah pekerja di kawasan premis tersebut dan siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesan pemilik premis," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan sama, Nor Izah berkata, JKDM Kedah telah memperoleh sebanyak 215 kes pelbagai komoditi termasuk kes rokok dan minuman keras (tak berkastam) yang bernilai RM22,817,843.76 dari Januari sehingga Ogos 2024.

Beliau memaklumkan, JKDM Kedah sentiasa komited untuk mengekang aktiviti penyeludupan barang tak berkastam demi kesejahteraan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!