Bahaya sikap fanatik, taasub melampau - Mohd Zawawi
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu lebih proaktif dalam memantau perkembangan ideologi sesat dan melampau yang ada di negara ini.
Timbalan Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan melarat hingga sukar untuk dikawal dan membawa bencana serta ancaman kepada keselamatan negara.
Justeru katanya, jika benar dakwaan serangan seksual dan liwat melibatkan kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), ia adalah suatu perkara yang sangat bahaya dan membimbangkan yang perlu ditangani secara tuntas.
“Mengapa keadaan ini boleh berlaku dan dibiarkan begitu lama ? Adakah kerana sikap pengikut fanatik, taat membabi buta tanpa memahami kebenaran serta hakikat ilmu yang dipegangnya atau kerana kelemahan pihak Jakim?
“Sekiranya indoktrinasi berterusan atas nama agama ini dilakukan, pastinya ia akan membentuk pemikiran jumud iaitu tertutup dan beku. Seseorang itu akan menerima apa sahaja yang disogokkan dalam minda mereka dan tidak dibenarkan menerima pendapat orang lain.
“Mereka akan menolak nasihat dan fikrah yang berbeza fahaman, iaitu menjadi sangat fanatik dan taasub.
"Lebih parah lagi apabila merasakan bahawa pendapatnya sahaja yang benar manakala pendapat orang lain adalah salah belaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru, Mohd Zawawi menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dalam menilai sesuatu pemikiran agar tidak terperangkap dengan fahaman Islam yang sempit.
Jelasnya, mereka yang berfahaman sempit dan fanatik ini ada ketikanya sanggup mengkafirkan orang lain.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Rabu memaklumkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan terkini beliau memaklumkan, 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki telah diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!