Tutup industri memudaratkan, jika Pas tadbir Pahang

Andansura
Andansura
A
A
A

TEMERLOH - Pas Pahang akan menutup semua industri yang memudaratkan semua kaum termasuk perjudian, sekiranya parti Islam itu berjaya menawan negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, bagaimanapun, perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita kena lihat kepada lunas undang-undang, kalau kita ada kuasa di peringkat negeri, kalau kita boleh buat, kita akan buat.

“Contohnya (kasino) di Genting Highlands kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu Persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat.

“Tapi kalau ada mana-mana dalam ruang (dalam bidang kuasa) yang kita lihat ada perkara memudaratkan kepada rakyat kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu memberitahu, langkah tersebut diambil bagi mengikuti jejak langkah kerajaan Pas seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, apa sahaja perkara yang memudaratkan masyarakat bukan sahaja perlu disokong tetapi juga dibanteras.

Artikel Berkaitan:

Andansura menegaskan bukan sahaja agama Islam, malah agama lain seperti Buddha juga tidak menyetujui perjudian.

"Ini tiada kaitan dengan agama, ia untuk melindungi kebajikan masyarakat.

"Ini adalah kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan Jika anda tidak mahu industri perjudian, pilih Pas," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Jabar pula berkata, perkara itu sesuai dengan tema Muktamar Pas kali ini iaitu ‘Islam jalan penyelesaian’ dan meliputi segenap aspek sama ada dari sudut sosialnya, ekonomi dan pemerintahan.

Rosli
Rosli

Ujarnya, Pas memahami faham kuasa negeri dan persekutuan ini tidak sama kadangkala berlaku pertindihan kuasa.

“Namun dalam konsep Islam dengan maksud kita buat apa yang boleh dibuat peringkat negeri. Dalam isu judi mungkin kuasa negeri kuasa kepada kita dalam sudut premis sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!