Bersatu makin malap di Johor - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed
A
A
A

KLUANG - Kekalahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada tahun lalu menunjukkan parti itu semakin malap di Johor.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tidak mustahil PRK Mahkota merupakan pengakhiran kepada Bersatu dalam arena politik tanah air.

Dakwa beliau, Bersatu akan mengalami nasib sama seperti parti Semangat 46 iaitu parti serpihan UMNO yang sudah dibubarkan.

“Bersatu mungkin akan bertemu titik akhirnya. Bagi saya, apa yang bakal berlaku di Mahkota nanti bukan mungkin bukan sekadar kekalahan, tetapi lebih kepada cerita kejatuhan sebuah parti yang asalnya dibina dengan penuh cita-cita dongeng, tetapi berakhir dengan keadaan memalukan.

“Bersatu kini semakin malap di Johor dan PRK Mahkota menjadi tanda tanya yang jelas berkenaan nasib parti itu yang lahir di negeri ini," katanya dalam satu dalam kenyataan pada Ahad.

PRK Mahkota menyaksikan BN mempertaruhkan Syed Hussien, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon PH, PN dan Warisan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!