Terima MoU bererti perjuangan tolak ICERD sia-sia - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

TEMERLOH - Perjuangan Pas membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) suatu masa dahulu menjadi sia-sia sekiranya memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dipersetujui gabungan itu.

Malah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, persetujuan terhadap perkara itu membawa maksud menyekat pembangkang untuk terus memperjuangkan agama serta hak majoriti di negara ini.

"Kalau tunduk kepada MoU yang ditawarkan oleh kerajaan, bererti kita telah sia-siakan perjuangan untuk tunduk kepada desakan menggadai Perlembagaan, sedangkan dalam Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, hak bumiputera paling utama.

"Kalau kita terima memorandum itu hari ini, tidak guna lagi bercakap tentang perjuangan agama, penyatuan hak majoriti.

"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah,” katanya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN berasaskan empat sebab utama.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, alasan berkenaan ialah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulangi pendirian parti tersebut untuk terus menolak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu tekanan akan menjadi semakin hebat, kita nak ingatkan kepada kerajaan jangan berlaku zalim kepada pembangkang.

"Buatlah apa yang kamu nak, tetapi apa yang dilakukan itu sekadar berkuasa di muka bumi sahaja.

“Kalau kamu zalimi ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang dinafikan peruntukan, Insya-ALLAH dalam masa dua, tiga tahun dari sekarang, kita akan mengebumikan mereka ke dalam liang lahad demokrasi negara,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!