Resah setiap kali hujan, penduduk rayu bina parit besar elak banjir

Saim menunjukkan tembok di depan pintu rumah untuk mengelak air banjir memasuki rumah.
Saim menunjukkan tembok di depan pintu rumah untuk mengelak air banjir memasuki rumah.
A
A
A

KLUANG - Setiap kali hujan, hati warga emas, Saim Tumin, 84, resah memikirkan rumahnya di Lorong Dua, Kampung Baru di sini, akan dinaiki air.

Saim mengakui dia sekeluarga sudah terlalu penat untuk membersihkan rumah yang kerap dimasuki air walaupun bukan dalam musim tengkujuh.

Tinjauan dilakukan Sinar Harian mendapati, rumah berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari longkang yang mengalirkan air dari dua buah taman di bahagian belakang ke longkang utama di hadapan rumah.

Asiah menunjukkan peti sejuk yang diletakkan diatas rak khas untuk mengelak terkena air banjir.
Asiah menunjukkan peti sejuk yang diletakkan diatas rak khas untuk mengelak terkena air banjir.

Menurut Saim, satu rak khas turut dibina untuk meletakkan barang-barang selain membina tembok setinggi kira-kira 0.5 meter di pintu rumah untuk menghalang air dari memasuki rumah.

"Pernah juga air yang masuk itu melebihi ketinggian rak yang dibina. Barang-barang terpaksa dipindahkan ke atas meja. Isteri, Asiah Dobok, 70, dan anak akan bersihkan rumah selepas air mula surut.

“Barang elektrik terutama peti sejuk turut diletakkan atas para khas yang dibina menggunakan kayu bagi mengelakkan terkena air yang masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syafik menunjukkan keadaan longkang di belakang rumahnya di Lorong Dua, Kampung Baru, Kluang.
Mohamad Syafik menunjukkan keadaan longkang di belakang rumahnya di Lorong Dua, Kampung Baru, Kluang.

Anaknya, Mohamad Syafiq, 34, memberitahu bencana yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu berlaku selepas taman perumahan baharu dibina di belakang dan hadapan kawasan kediaman penduduk di sini.

Jelasnya, selain rumahnya, dua lagi rumah sewa di Lorong Dua kerap terjejas kerana berada di kawasan yang redah serta dengan longkang utama.

"Di belakang rumah ada satu parit besar yang memisahkan taman perumahan perumahan. Namun rumput penuh dan tidak diselenggara dengan baik.

"Tidak perlu menunggu hujan terutama ketika tengkujuh untuk banjir, hanya hujan dua jam air sudah bergenang di dalam rumah," ujarnya.

Para khas untuk meletakkan barang rumah setiap kali banjir berlaku.
Para khas untuk meletakkan barang rumah setiap kali banjir berlaku.

Justeru, beliau amat mengharapkan parit besar di belakang rumah diselenggara dengan mengalirkan airnya ke satu longkang lain bagi mengatasi masalah banjir di kawasan rumah penduduk.

"Saya gesa isu ini diberikan perhatian serius oleh wakil rakyat yang akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

"Lakukan tindakan segera untuk atasi isu banjir di sini demi penduduk. Kami sudah tidak tahan dengan masalah banjir kilat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!