CAP gesa larangan pamer produk nikotin di kaunter pembayaran
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan agar segera menguatkuasakan larangan mempamerkan produk vape, rokok elektronik, rokok dan barangan lain berkaitan tembakau di kaunter pembayaran semua kedai di seluruh negara.
Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti Merokok CAP, NV Subbarow berkata, tindakan itu amat penting dalam melindungi generasi muda daripada pengaruh bahaya tabiat merokok.
Menurutnya, kanak-kanak dan remaja menjadi sasaran mudah oleh industri terutamanya dengan pelbagai produk yang menarik perhatian daripada segi reka bentuk, warna dan aneka perisa.
"Walaupun undang-undang sedia ada melarang kanak-kanak membeli atau memiliki produk rokok, tarikan visual dan keinginan mencuba meningkatkan risiko untuk mereka terjebak.
"Keadaan kini semakin membimbangkan. Jika kawalan ketat terhadap produk nikotin ini tidak dilaksanakan segera, semakin ramai anak muda akan terjerat dalam tabiat menghisap vape yang membawa kepada peningkatan ketagihan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tegas Subbarow, CAP berpendapat penguatkuasaan larangan mempamerkan produk vape, rokok elektronik dan rokok adalah satu langkah yang tidak boleh ditangguh lagi.
"Penguatkuasaan ini bukan sahaja akan mengurangkan pendedahan awal kepada tabiat merokok dan menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, malah menyekat normalisasi penggunaan bahan berbahaya ini dalam masyarakat.
"Larangan mempamerkan juga menunjukkan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia yang tidak akan berkompromi dalam melindungi kesihatan awam," tambahnya lagi.
Jelas beliau, adalah penting bagi pihak berkuasa bertindak tegas dan memastikan peraturan ini dilaksanakan dengan lebih ketat.
"Ia bagi membolehkan usaha memerangi ketagihan nikotin dan melindungi masyarakat terutama golongan muda dapat dicapai sepenuhnya.
"Tindakan tegas ini akan memperkukuhkan matlamat kesihatan awam dalam mengurangkan kemudaratan yang dibawa oleh rokok dan vape," katanya.
Sebelum ini, CAP mendedahkan 43,360 pelajar sekolah antara 1.5 juta perokok dan penghisap vape di negara ini yang mana, jumlah itu amat membimbangkan.
Jumlah itu diperoleh daripada saringan menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) pada tahun 2022.
Daripada jumlah itu, 43,000 adalah pelajar sekolah menengah dan 341 pelajar sekolah rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!