Bayi maut, 12 hilang dalam kejadian tanah runtuh
MEXICO CITY - Seorang bayi berusia tiga bulan maut manakala 12 orang dilaporkan hilang susulan kejadian tanah runtuh di bandar San Luis Ayucan, Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.
Adrian Hernandez Romero, Ketua Perlindungan Awam Negeri Mexico berkata, kejadian tanah runtuh berlaku pada malam Jumaat selepas hujan lebat melanda kawasan terbabit.
Sekurang-kurangnya 10 rumah dan premis perniagaan rosak akibat kejadian itu, lapor Xinhua memetik kenyataan Romero.
Pihak berkuasa menyediakan pusat perlindungan kecemasan di sebuah gereja berhampiran dan mula memindahkan penduduk di kawasan sekitar susulan bimbang kejadian sama berulang.
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan penglibatan anggota Tentera Laut, Tentera Darat, Pengawal Kebangsaan, polis tempatan dan anjing pengesan untuk menjejaki mangsa yang hilang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!