Dewan Ulama Pas tidak pertahan pemimpin membuta tuli

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

TEMERLOH - Dewan Ulama Pas Pusat nafi mempertahankan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara membuta tuli selepas dikritik perwakilan kerana berkaraoke.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya menjelaskan, sayap parti itu sentiasa memerhati dan menegur pemimpin yang melakukan kemungkaran.

Beliau menjelaskan, aktiviti seperti menyanyi dan bersukan boleh dilakukan selagi tidak bercanggah syariat Islam.

"Pemimpin berkaraoke, Kedah (yang) dipanggil 'ashabul karaoke', kita faham nak tuju pada Menteri Besar Kedah.

"Dia (perwakilan) kata saya pertahankan kawan-kawan (sedangkan) Dewan Ulama perhati dan tengok (perbuatan), selagi mana bukan perkara mungkar. Mungkar adalah perkara yang disepakati dosa.

"Perbuatan yang ditegah selagi tidak disepakati, kita tak adalah sampai pertahan, sekurang-kurangnya kita bagi penjelasan cuma (kena) adillah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Pas kali ke-70, di sini pada Ahad.

Sebelum ini perwakilan Perlis, Mohd Saifizi Saidon ketika membahaskan ucaptama Presiden pada Khamis meluahkan kegusaran mengenai kualiti pemimpin parti susulan tidak bertindak terhadap individu tertentu.

Tidak menyebut secara spesifik pemimpin yang dimaksudkan, Mohd Saifizi mendakwa ada pemimpin yang bersalaman dengan wanita tidak diambil tindakan, malah yang karaoke dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, Muhammad Sanusi ada membaca al-Quran dalam majlis perasmian Festival al-Quran seperti diminta orang ramai.

"Bukan hanya di padang bola, apa sahaja yang diminta oleh rakyat selagi tidak bercanggah dengan agama akan disambut.

“Saya nak gambarkan inilah sikap dan pendirian yang diambil Dewan Ulama, kita tidak mempertahankan secara membuta-tuli,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!