Pas tak galak ahli taksub kepada pemimpin - Idris Ahmad

Idris ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Ahad.
Idris ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Ahad.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Pas tidak menggalakkan ahlinya untuk membuta tuli atau taasub terhadap pemimpin parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sebaliknya kesetiaan dan ketaatan dalam Pas berpaksikan kepada prinsip wala' yang berlandaskan ajaran Islam.

"Selagi pemimpin wala' kepada Allah dan Rasul, Insya-Allah kita akan ikut, sebab itu kita tidak pernah tarbaiah. Kita tak pernah didik ahli Pas untuk jadi taksub membabi buta.

"Tapi selagi pemimpin itu wala' kepada Allah, Rasul, maka kita taat. Terbukti pemimpin dulu hebat ketika mereka memimpin Pas kerana kita ikut arahan mereka, sebab mereka wala' kepada Allah, rasul dan kepada jemaah.

"Apabila tak wala' kepada Allah, rasul dan jemaah, mereka menidakkan parti. Jadi kita tak perlu ikut mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menjelaskan dalam sejarah Pas, pemimpin memimpin dengan wala' yang jelas kepada ALLAH dan rasul telah menunjukkan kejayaan besar.

Ujarnya, ini kerana kepatuhan tersebut memperkukuhkan kesatuan dalam parti dan menjadi asas kepada kejayaan mereka.

“Terbukti pemimpin kita yang lalu telah memimpin dengan cemerlang kerana mereka wala' kepada ALLAH, rasul dan jemaah.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya, jika ada pemimpin yang menyimpang dari wala' ini, mereka tidak lagi membawa kebaikan kepada parti, dan kita tidak perlu mengikuti mereka,” katanya.

Idris berkata, prinsip wala' penting untuk memperkukuhkan organisasi tersebut, selain memastikan gerak kerja parti berjalan dengan lancar dan berkesan.

“Prinsip wala' inilah yang menjadikan organisasi kita kukuh dan bersatu. Lihat sahaja bagaimana kita berjaya membina Kompleks Al-Makmur yang bernilai RM5 juta ini.

"Kalau tiada wala', mungkin kompleks ini tidak akan dapat didirikan,” ujarnya.

Namun begitu, Idris meluahkan kebimbangan terhadap usaha pihak tertentu yang cuba merosakkan konsep wala' dalam Pas dengan meracuni pemikiran ahli, terutama generasi muda.

"Terdapat pihak yang cuba memecahbelahkan ahli Pas dengan menanamkan keraguan terhadap konsep wala'.

"Mereka cuba menghasut ahli, termasuk anak-anak pemimpin Pas, supaya tidak lagi taat kepada pimpinan dan jemaah. Ini satu perkembangan yang amat berbahaya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!