Dua buaya 'makan umpan' ditangkap, mangsa belum ditemui

A
A
A

KOTA MARUDU - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang disambar buaya memasuki hari kelima berjaya menangkap dua ekor buaya di kawasan sungai Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau di sini pada Sabtu.

Dua haiwan reptilia itu ditemui di dalam perangkap selepas operasi SAR dimulakan pada jam 8 pagi oleh sepasukan anggota bomba ketika rondaan dibuat di lokasi tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat berkata, operasi SAR dimulakan sejak Rabu lalu selepas laporan diterima di Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah.

Menurutnya, dalam kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sempat menyelamatkan diri manakala bapa saudaranya, Razis Amat, 35, telah disambar buaya ketika mereka mandi di sungai tersebut.

"Operasi pencarian diteruskan di lokasi namun tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon.

"Ketika operasi dimulakan pagi tadi, pasukan SAR melakukan rondaan di lokasi umpan diletakkan dan berjaya menangkap dua ekor buaya iaitu tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah beliau, mangsa setakat ini belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.

"Buaya yang ditangkap pula diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kota Marudu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Roland Oliver Niun berkata, setakat ini pihaknya menerima maklumat sebanyak empat buaya berjaya ditangkap termasuk satu ditembak mati di kampung berkenaan.

"Kami belum menerima maklumat serahan haiwan yang ditangkap daripada pihak bomba bagaimanapun memang ada empat ekor berjaya ditangkap.

"Untuk makluman awal, tiga berjaya dipancing dan satu lagi ditembak di kampung tersebut.

"Seekor buaya yang ditangkap berukuran panjang 1.5 meter manakala tiga lagi dianggarkan sepanjang antara tiga hingga 3.6 meter," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, remaja lelaki tersebut hanya mampu melihat bapa saudaranya disambar buaya sebelum hilang dari pandangan ketika mereka mandi di sungai kampung berkenaan.

@sinarharianonline

Umpan mengena! Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang disambar buaya memasuki hari kelima berjaya menangkap dua ekor buaya di kawasan sungai Kampung Marudu Darat, Jalan Ranau-Ranau, Kota Marudu pada Sabtu. Dua haiwan reptilia itu ditemui di dalam perangkap selepas operasi SAR dimulakan pada jam 8 pagi oleh sepasukan anggota bomba ketika rondaan dibuat di lokasi tersebut. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Tular #Viral #Buaya #Reptilia #SAR #Bomba #Sungai #KotaMarudu #Sabah

original sound - Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!