Jakim sahkan roti jenama Ikhwan tiada sijil halal

Jakim sahkan produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Jakim sahkan produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
A
A
A

SHAH ALAM - Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan, semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk itu tidak memiliki SPHM yang sah.

Menurut Jakim, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang tular ketika ini.

"Perkara ini melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," kata kenyataan itu pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, Jakim sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

"Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah akta terbabit," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, akta berkenaan menetapkan semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

"Melainkan ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah terbabit," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) di media sosial mempersoal kesahihan logo halal Jakim pada produk roti berkenaan.

Sebarang aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal atau pemalsuan sijil pengesahan halal boleh dikemukakan kepada Jabatan ini melalui email rasmi pr_halal@islam.gov.my untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!