Persempadanan semula: Pas arah pimpinan negeri laksana 11 agenda bertindak

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

TEMERLOH - Pas mengarahkan ahli dan pemimpin peringkat negeri melaksanakan 11 agenda bertindak untuk meneliti persempadanan yang dilaksanakan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas Pusat telah melaksanakan pemukiman pada Januari lalu dan melihat keperluan pelaksanaan itu bagi memastikan misi menang 60 kerusi Parlimen dapat direalisasikan.

"Kita tahu tahun 2026 ialah tempoh persempadanan baharu pilihan raya, (pimpinan) negeri-negeri tidak boleh menunggu, kena ada usaha untuk meneliti persempadanan yang dibuat SPR.

“Ada negeri sangat tidak patut (dilakukan) persempadanan, sebagai contoh Pekan (Pahang) yang ada empat DUN dalam satu Parlimen, sampai Kem Batu 9 yang hanya 15 kilometer (km) masuk dalam Parlimen,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 di sini pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, proses kajian persempadanan semula SPR di Semenanjung Malaysia akan bermula pada 2026.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, suruhanjaya itu akan melaksanakan kajian dalam tempoh dua tahun sebelum satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, satu perubahan besar akan berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang dan menyaksikan sokongan kepada Pas juga bakal bertambah.

"Kita akan saksikan bagaimana perubahan besar berlaku. Kalau dahulu, kawasan Felda jadi kubu kuat pihak lawan, hari ni Felda jadi kubu kuat Pas di mana-mana.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat menetapkan 60 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada PRU16.

“Kita ambil ini sebagai cabaran, semua perlu bersedia mengekalkan kemenangan sedia ada dan tambah sasaran kemenangan kepada beberapa kerusi. Bukan mudah nak capai sasaran tetapi tidak mustahil,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!