PRK Mahkota: Calon BN jamin teruskan usaha penyelesaian banjir
KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah memberi jaminan akan meneruskan usaha menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda di beberapa kawasan ini.
Menurutnya, walaupun banyak bantuan diberikan menerusi kerajaan negeri dan Pusat yang telah mengurangkan masalah banjir, isu berkenaan masih perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa.
"Isu melibatkan banjir ini perkara penting untuk setiap kawasan. Umum maklum di Kluang sebelum ini banyak kawasan banjir.
"Tapi banyak bantuan kerajaan negeri dan Pusat telah selesaikan masalah bagi mengurangkan masalah banjir ini.
"Tidak dinafikan jika hujan lebih berterusan, akan terkesan. Jadi jika perlu angkat isu, kita akan angkat untuk selesaikan masalah tempatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni peniaga di Gerai Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Taman Makmur, di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia turut bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan situasi banjir semasa berlangsungnya kempen PRK Mahkota yang bermula 14 hingga hari pengundian 28 September ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, seramai 38 pegawai dan anggota telah bersedia untuk mengatur gerak jika berlakunya banjir ketika waktu kempen mahupun pada hari pengundian dengan aset telah ditempatkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Bot dan lori juga turut ditempatkan di IPD Kluang sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir.
Dalam pada itu, ditanya sama ada akan meneruskan benteng sungai yang diperjuangkan oleh wakil rakyat terdahulu, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain antaranya di Taman Ilham, Syed Hussien berkata, perkara itu akan dirujuk kepada agensi terlibat.
"Insya-ALLAH kerana perkara ini kita perlu bertanya kepada pihak agensi yang mempunyai kepakaran JKR (Jabatan Kerja Raya), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) bagi mendapat pandangan mereka terutamanya Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!