Pesawat misi HADR sudah berlepas
PUTRAJAYA - Pesawat yang membawa petugas Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) Malaysia ke bandar Wuhan, China disahkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang pada jam 4.30 petang tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pesawat AirAsia bersama 12 krew dan lapan petugas misi HADR berlepas ke Wuhan untuk membawa pulang 141 rakyat Malaysia termasuk pasangan dan anak masing-masing.
"Semua 141 penumpang ini akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.
"Tempoh masa diambil untuk tapisan kesihatan, proses imigrasi dan kebenaran berlepas tidak dapat dipastikan buat masa ini, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penerbangan itu juga membawa bersama 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China dalam operasi membanteras penularan wabak novel koronavirus di negara itu.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, sebaik sahaja tiba di Malaysia, semua 167 penumpang meliputi 141 rakyat Malaysia dibawa pulang, 12 krew, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sekali lagi akan melalui tapisan kesihatan di Air Disaster Unit (ADU), KLIA.
Menurutnya, bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom akan dibawa terus ke hospital.
"Bagi yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke pusat pemantauan ditetapkan untuk tujuan pemantauan bagi tempoh 14 hari.
"Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) akan berhubung dengan keluarga mereka untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui ahli keluarga sepanjang 14 hari, " katanya.
Terdahulu, Dr Wan Azizah menegaskan kerajaan Malaysia akan membawa pulang seramai 141 orang terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang juga pasangan serta anak-anak mereka dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, hari ini berikutan penularan koronavirus di negara itu.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada kelulusan kerajaan China dengan mereka yang akan dibawa pulang hanyalah didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.
Selain itu, Malaysia juga bercadang menyumbang 18 juta sarung tangan bagi kegunaan pegawai perubatan di Wuhan, China.
Sementara itu Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, kementerian mengambil inisiatif untuk menghantar bantuan sarung tangan perubatan ke negara terbabit kerana hospital di sana kini sedang menghadapi kekurangan bantuan keperluan perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!