Rakyat tak perlu khuatir keupayaan ATM tangani isu di Laut China Selatan - Penganalisis

Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keupayaan ATM dalam menangani konflik sempadan di perairan Laut China Selatan. Gambar hiasan
Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keupayaan ATM dalam menangani konflik sempadan di perairan Laut China Selatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani konflik sempadan di perairan Laut China Selatan, kerana mereka memiliki pelbagai strategi bagi menggalas tugas itu, kata penganalisis pertahanan.

Dr Azmi Hassan daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, adalah lebih penting rakyat Malaysia memahami isu yang dihadapi oleh pasukan keselamatan negara dalam mengawal sempadan perairan negara, terutama berkaitan kehadiran kapal negara asing di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

"Kita tak perlu risau dengan perkara ini kerana kapal yang melalui EEZ mematuhi perundangan antarabangsa, iaitu UNCLOS (United Nations Convention on the Law of the Sea).

"Untuk meyakinkan rakyat mengenai sistem pertahanan kita, kita boleh imbas kembali kejadian pada Jun 2021 apabila pesawat pejuang TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) berjaya memintas 16 pesawat tentera China yang mencerobohi ruang udara negara, sekali gus membuktikan kita mempunyai sistem pertahanan yang efisien,” katanya kepada Bernama.

Isu kapal China menceroboh perairan negara bukan sesuatu yang baru dan media melaporkan peningkatan yang ketara daripada 163 buah kapal kepada 200 buah antara akhir Ogos dan awal September tahun ini.

Beliau berkata, kapal-kapal asing yang berada di dalam kawasan EEZ negara mungkin hanya membuat ‘shadowing’ atau memerhatikan saja aset negara, yang mana tindakan itu tidak melanggar UNCLOS.

"Mengikut undang-undang, kapal asing berhak melalui atau menyusur di perairan EEZ kerana ia adalah perairan antarabangsa. Namun aktiviti lain seperti menangkap hasil laut, pengumpulan data hidrografi bagi proses carigali minyak dan latihan peperangan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, konflik di Laut China Selatan harus diselesaikan melalui pendekatan diplomasi yang baik untuk mewujudkan keseragaman antara Malaysia dan China.

Artikel Berkaitan:

"China telah melaksanakan sembilan garis putus (Nine-dash line) dengan mengatakan bahawa ia adalah milik mereka manakala Malaysia sebenarnya berhak menentang dan menyatakan bahawa tuntutan tersebut adalah bertentangan dengan EEZ.

"Selain itu, peta perairan baru yang dikeluarkan China juga telah disanggah oleh Mahkamah Antarabangsa sebagai tidak sah. Dalam konteks ini, Malaysia harus terus mempertahankan haknya dan tidak menghiraukan tuntutan negara tersebut,” katanya.

Noor Nirwandy berkata, masyarakat tidak perlu terlalu khuatir bahawa isu Laut China Selatan akan mengakibatkan konflik fizikal antara dua negara, kerana kebiasaannya perkara seperti ini diselesaikan melalui kaedah diplomasi.

"Malaysia tidak pernah terlibat dalam sesuatu konflik antarabangsa yang akhirnya mengakibatkan pertembungan secara fizikal ataupun pertembungan sehingga melibatkan ketenteraan,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kerajaan juga memberi penekanan kepada aspek memperkukuh pertahanan di perairan negara, terutama melalui keputusan mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk memastikan projek tersebut dapat diselesaikan.

"Kekurangan kita ialah kapal peronda yang berkelas LCS yang dikatakan mempunyai senjata agak canggih dan boleh bergerak laju. Pembelian LCS ialah perbelanjaan yang besar tapi ia akan perkuatkan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia),” katanya.

Projek LCS menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kelewatan dan lebihan kos, dengan bajet awal RM6 bilion meningkat kepada RM9.18 bilion dan akhirnya mencecah RM11.22 bilion.

Walaupun kos akhirnya mencecah RM11 bilion, Kerajaan MADANI tetap komited menyediakan kelengkapan yang terbaik bagi ATM dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam usaha kerajaan memastikan sempadan perairan negara di Laut China Selatan terus kukuh, Kementerian Pertahanan, pada Jun lepas, turut menyerahkan Surat Setuju Terima pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!