Op Global: Polis kesan ibu bapa 402 kanak-kanak yang diselamatkan

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu bapa kepada 402 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global melibatkan 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini akan dipanggil bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha turut dijalankan bagi mengesan keberadaan kesemua ibu bapa mangsa.

"Kesemua ibu bapa yang dikenal pasti akan dipanggil untuk memberi keterangan untuk melengkapkan proses siasatan.

"Usaha mengesan keberadaan mereka sedang giat dijalankan pihak polis," katanya pada Ahad.

Katanya, seramai 384 kanak-kanak telah selesai saringan kesihatan yang dijalankan setakat Sabtu.

"Dapatan saringan tersebut mendapati ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan terhadap kesemua mangsa ini.

"Selain itu, sebanyak 483 rakaman percakapan telah diambil termasuk melibatkan pengadu, saksi, mangsa dan suspek terlibat," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan polis telah menyelamatkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, 10 daripada 402 kanak-kanak terbabit didapati terdiri daripada kanak-kanak autistik, orang kurang upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Dalam perkembangan pada Jumaat, beliau memaklumkan, 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki telah diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!