Tuan Ibrahim perjelas hidupkan MN tanpa Presiden UMNO
TEMERLOH - Keputusan Pas untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) tanpa pembabitan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ekoran Presiden UMNO itu masih terpalit pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, meskipun mahkamah menetapkan Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kes tersebut masih boleh dibicarakan sekiranya terdapat bukti.
"Kalau kita tengok, dia (Ahmad Zahid) bukan tak ada kes. Dari segi undang-undang sekiranya ada bukti boleh dibawa semula (perbicaraan). Kita tengok respons, 47 kes bukan kecil.
"DNAA kerana pendakwaan menghentikan pendakwaan, bukan sebagaimana yang berlaku kepada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng.
"Bukan mahkamah putuskan dia tak bersalah. Ini isu integriti dan undang-undang. Bagi kita, Presiden sebut itu salah satu faktor," katanya pada sidang akhbar selepas penangguhan Muktamar Tahunan Pas kali ke-70, di sini pada Ahad.
Sebelum ini Abdul Hadi mengesahkan, usaha menghidupkan kembali MN yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera dilakukan tanpa pembabitan Ahmad Zahid.
Rentetan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Marang sebagai tidak ikhlas dan bukan atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.
Selain itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam reaksinya memberi perumpamaan ‘nak kahwin, tapi letak syarat tak boleh terima ayah pasangan.’
Ditanya mengenai penerimaan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN), Tuan Ibrahim menjelaskan, kes dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berjalan dan dibicarakan di mahkamah.
"Bezanya (kes) Ahmad Zahid dihentikan pendakwaan, Muhyiddin terus dengan pendakwaan.
"Belum ada prima facie, tiada keputusan mahkamah dibuat. Jadi kes berbeza dengan menghentikan pendakwaan dengan bicarakan. Bagi kita kalau mahkamah putuskan tidak ada kes, okey,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!