Beberapa frasa dalam MoU masih kabur - Ahmad

Ahmad
Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa frasa dalam memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan kepada pembangkang didakwa masih kabur dan ia boleh mengundang kepada pelbagai tafsiran.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, dibimbangi frasa yang kurang jelas boleh menjejaskan nilai-nilai tunjang utama kenegaraan seperti hak keistimewaan orang Melayu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu tegaskan tidak akan berkompromi dalam isu tunjang semata-mata bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.

“Saya rasa tuntutan hak sama rata tanpa mengira bangsa dan agama yang terkandung dalam MoU tersebut sesuatu yang kabur dan membawa kepada pelbagai tafsiran.

“Apatah lagi frasa itu ditetapkan oleh sebuah kerajaan yang seringkali melaungkan hak sama rata sehingga ‘terlindung’ nilai-nilai tunjang utama kenegaraan, antaranya Islam sebagai agama rasmi dan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ahmad berkata, perkara tunjang yang menjadi asas kenegaraan dan Perlembagaan Persekutuan tidak sewajarnya digadaikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

“Kami tidak akan berkompromi dalam soal ini kerana inilah tunjang yang diperjuangkan.

“Apakah kita sanggup gadaikan prinsip dan nilai kenegaraan semata-mata untuk dapatkan secebis peruntukan?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peruntukan berkenaan merupakan duit rakyat dan tidak sewajarnya kerajaan menggunakan kepentingan rakyat ini untuk menggadaikan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama, iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!