Jangan jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

TEMERLOH - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti agar tidak bertindak sebagai pembangkang dalam kerajaan sendiri.

Menurut beliau, tindakan sedemikian boleh menggugat kestabilan dan perpaduan parti serta kerajaan.

“Jangan ada dalam kalangan Pas yang jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri. Tidak sedar bahawa dirinya sudah menjadi kerajaan.

"Lalu bertindak melawan kerajaan dan wakil rakyat sendiri, bahkan melawan Menteri Besar sendiri dan menjatuhkan kerajaan sendiri.” tegasnya.

Beliau demikian ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Marang turut memberi peringatan, sekiranya terdapat kes kesalahan atau kesilapan dalam pentadbiran ia harus dilaporkan kepada pihak yang berwibawa.

Katanya, laporan tersebut akan menentukan adakah perkara itu benar atau salah.

"Kadang-kadang, ia hanyalah merupakan suatu tuduhan daripada pihak musuh atau orang luar yang berbohong.

Artikel Berkaitan:

"Mesti dilakukan tabayyun oleh pihak yang menyelesaikan masalah.

"Para pemimpin atasan diminta agar terlebih dahulu bertindak tabayyun apabila adanya sesuatu tuduhan," katanya.

Menyentuh tawaran memorandum persefahaman (MoU) oleh kerajaan berjenama madani, Abdul Hadi memberitahu Pas menolak tawaran MoU itu kerana ia tidak mengikut amalan demokrasi yang menepati ajaran Islam.

Katanya, Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian.

"Kerajaan Terengganu dibatalkan perjanjian royaltinya, manakala Kerajaan Kelantan pula dinaskahkan perjanjian royaltinya. Adapun Kedah dan Perlis hanya ada minyak gamatnya sahaja.

"Kerajaan sepatutnya memberikan peluang kepada setiap negeri untuk mengurus dan mentadbir sendiri dengan adil dan beretika," katanya.

Abdul Hadi mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar semua ahli Pas menghormati adab dalam perbincangan dan tidak membenarkan sebarang masalah dalaman merosakkan perpaduan dan kestabilan kerajaan.

“Kita mesti bersatu dalam mempertahankan prinsip dan nilai Islam, dan mengelakkan diri daripada menjadi pembangkang dalam kerajaan sendiri,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa kesatuan dan disiplin adalah kunci kejayaan dalam memimpin rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!