Filipina berundur dari Terumbu Sabina, China menang lagi?
MANILA - Sebuah kapal milik Pengawal Pantai Filipina telah meninggalkan kawasan terumbu yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, menurut Majlis Maritim Negara pada Ahad.
Sejak April lalu, BRP Teresa Magbanua dilaporkan berlabuh di Terumbu Sabina bagi menegaskan tuntutan Manila terhadap kawasan itu selain menghalang provokasi Beijing.
“Sepanjang lebih empat bulan lalu, ia mampu bertahan daripada ancaman penceroboh, menghadapi cuaca buruk dan kru yang bergelut untuk meneruskan hidup serta misi mempertahankan beting tersebut meskipun bekalan lain termasuk makanan berkurangan akibat sekatan kapal China,” kata Setiausaha Eksekutif Pengerusi Majlis Maritim Negara Lucas Bersamin.
Sementara itu, Pengawal Pantai Beijing menyifatkan pengunduran Manila kononnya tidak dapat menafikan lagi hak kedaulatan mereka terhadap Xianbin Jiao (Terumbu Sabina) dan perairan sekitarnya.
“Tindakan Filipina jelas satu pelanggaran yang serius dan menjejaskan keamanan serta kestabilan.
“Kami memberi amaran tegas kepada Manila supaya menghentikan propaganda di perairan sensitif itu dan mengakui kesahihan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan,” ujar jurucakapnya, Liu Dejun.
Menurutnya, Beijing akan meneruskan tindakan melindungi hak dan penguatkuasaan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.
Sebagai respons, jurucakap Majlis Maritim Negara, Alexander Lopez berkata, Manila akan terus mengawasi dan melaksanakan hak serta kedaulatan di kawasan itu yang diceroboh China.
Pada minggu lalu, wakil kedua-dua negara dilaporkan mengadakan rundingan peringkat tertinggi mengenai isu maritim yang mana Beijing sekali lagi mengulangi tuntutan mendesak pengunduran kapal Filipina. - AFP
Info:
>Kapal Filipina dan China pernah berlanggar sebanyak tiga kali berhampiran Terumbu Sabina yang terletak kira-kira 140 kilometer (km) dari Pulau Palawan di Manila dan 1,200km dari dataran utama paling dekat milik Beijing iaitu Pulau Hainan.
>BRP Teresa Magbanua pernah mengalami kerosakan akibat daripada insiden pelanggaran itu.
>Situasi terbaharu itu dikatakan sama seperti pada 2012 ketika Beijing menguasai Terumbu Scarborough, sebuah lagi beting strategik yang terletak kira-kira 240km di barat Pulau Luzon di Filipina. Manila memanggil pulang kapal mereka selepas konfrontasi maritim tercetus selama dua bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!