Translokasi 14 gajah ke habitat asal selesai
GERIK - Operasi translokasi kesemua 14 gajah liar termasuk seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia tiga bulan di Tanjung Rimbun, Kampung Batu 6, Bandariang di sini berjaya dipindahkan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, operasi dilaksanakan melibatkan 25 kakitangan dibantu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.
"Konflik kawanan gajah itu dilaporkan sejak awal tahun dan tangkapan dilakukan selepas menerima aduan daripada penduduk.
"Khidmat gajah denak Abot dan Rambai diturunkan bagi membantu operasi yang berlangsung sejak 5 September lalu hingga semalam (Sabtu)," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kesemua enam gajah jantan dan lapan betina berusia tiga bulan hingga 35 tahun itu dilepaskan kembali ke habitat asal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!