Pemimpin masyarakat disaran mohon dana SejaTi Madani, jana ekonomi setempat - Fahmi
SIPITANG - Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan rukun tetangga, disaran memohon dana Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, untuk program itu, kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pusat menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 dan permohonan masih dibuka hingga 30 September.
"Saya sarankan kepada semua yang masih belum memohon dana SejaTi Madani untuk segera berbuat demikian, dengan mendapatkan maklumat melalui laman web SejaTi Madani yang disediakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, di sini pada Ahad.
Fahmi berkata, terdapat lima sektor yang menjadi tumpuan dalam program SejaTi Madani, iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya di program tersebut berkata, dana berkenaan disediakan Kerajaan Persekutuan bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti sosioekonomi yang dinyatakan.
Selain itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat agar memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), kerana pelbagai maklumat serta kemahiran yang disediakan di pusat itu, boleh membantu mereka untuk meningkatkan taraf hidup.
"Dahulu dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi) tetapi sekarang sebagai NADI, dan beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan di pusat ini. Tujuannya kita tidak mahu rakyat hanya berkumpul di sini, sebaliknya memanfaatkan kemahiran diperoleh di sini untuk menambah pendapatan.
"Semasa lawatan di NADI Mesapol tadi saya lihat ada yang mengusahakan kek lapis Sarawak, sampai ke Sipitang ada kek ini. Saya ke Kundasang, ada yang mengusahakan sambal tuhau, sedap dan NADI boleh membantu membangunkan usahawan tempatan dengan memasarkan produk melalui Internet,” katanya.
Sebelum itu Fahmi turut meluangkan masa melawat pusat NADI Mesapol yang ditubuhkan pada tahun lepas, selain bertemu pengurus pusat serta para usahawan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!