Kit Pertanian Bandar NAFAS galak masyarakat bercucuk tanam

Abdul Khaliq (kanan) ketika melakukan demonstrasi promosi Kit Pertanian Bandar bersama pengunjung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Dewan A, MAEPS, Serdang pada Ahad. Foto: Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Abdul Khaliq (kanan) ketika melakukan demonstrasi promosi Kit Pertanian Bandar bersama pengunjung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Dewan A, MAEPS, Serdang pada Ahad. Foto: Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SERDANG - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kini mengeluarkan produk Kit Pertanian Bandar sebagai usaha memperkasa aktiviti pertanian komuniti terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Penolong Pengurus NAFAS Agri Services Sdn Bhd (NASSB), Abdul Khaliq Rahim berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat dan kanak-kanak menanam sendiri sayur-sayuran di rumah walaupun mempunyai kawasan yang terhad.

Menurutnya, kalau boleh setiap rumah digalakkan mempunyai satu Kit Pertanian Bandar sebagai permulaan untuk memupuk minat mereka dengan aktiviti bercucuk tanam.

"Produk ini dikeluarkan pada tahun 2023 dan kini hampir satu tahun berada di pasaran.

"Dengan adanya Kit Pertanian Bandar, kita harap matlamat yang mahukan semua rumah ada satu tanaman akan tercapai.

"Ini bukan sahaja membantu menghijaukan bumi kita malah mampu membantu menangani isu keterjaminan makanan, memberi pulangan untuk mengurangkan perbelanjaan dapur dan seterusnya menurunkan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Ahad.

Produk Kit Pertanian Bandar NAFAS.
Produk Kit Pertanian Bandar NAFAS.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Khaliq, walaupun tidak membantu sepenuhnya tetapi ia dapat mengurangkan kos apabila sayur-sayuran mudah diperoleh dengan hanya memetik di rumah.

Jelasnya, lagipun kit yang dijual NASSB itu mampu milik dan merupakan barangan semua dalam satu untuk pertanian sayuran dalam skala kecil.

"Kit Pertanian Bandar terdiri daripada tanah yang dirumus khas untuk tanaman sayuran, baja berkualiti keluaran NAFAS, kotak pertanian saiz sederhana dan lima jenis biji benih sayuran seperti salad, pak choy serta kailan Cina.

"Semua barangan itu, orang ramai boleh membelinya pada harga RM40 dan boleh didapati menerusi ejen kami atau di ibu pejabat NASSB," katanya.

Beliau turut memberitahu, kit itu sangat menjimatkan kerana boleh digunakan dalam tempoh lama sekitar tiga bulan.

"Kita beri sayur-sayuran yang mudah tumbuh dan hanya mengambil masa kurang sebulan. Jadi boleh ulang-ulang tanam dan sangat menjimatkan.

"Bila kita terapkan aktiviti menanam di rumah, dalam masa sama dapat menerapkan budaya itu kepada kanak-kanak, sudah pasti mereka gembira melakukannya," jelasnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!