Sekat individu salah guna kuasa pegang jawatan penting - MCW

Individu yang didapati menyalahgunakan kedudukan tertinggi dalam syarikat perlu dikenakan hukuman tegas. Foto hiasan
Individu yang didapati menyalahgunakan kedudukan tertinggi dalam syarikat perlu dikenakan hukuman tegas. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang didapati menyalahgunakan kedudukan tertinggi dalam syarikat perlu dikenakan hukuman tegas termasuk sekatan daripada memegang sebarang jawatan penting dan perolehan itu perlu dirampas serta-merta.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, perkara itu bukan sahaja melanggar prinsip integriti, malah merosakkan kepercayaan terhadap institusi atau organisasi.

Jais Abdul Karim.
Jais Abdul Karim.

Menurutnya, dengan menggunakan hubungan peribadi untuk melobi projek akan memberi impak negatif kepada syarikat selain membentuk penyalahgunaan kuasa sehingga menutup peluang pihak lain yang mempunyai potensi dan berkelayakan.

“Amalan ini bukan sahaja merosakkan institusi, tetapi juga menyuburkan budaya rasuah.

“Apabila penyalahgunaan kuasa ini menjadi normalisasi masyarakat, ia sukar dibendung dan juga memusnahkan ekosistem persaingan yang adil serta telus dalam pemberian tender atau projek,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pemilik syarikat yang juga suami kepada bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja bernilai kira-kira RM1.4 juta.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 4 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Jais, kes melibatkan bekas pegawai GLC akan memberi impak negatif terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.

Tambah beliau, apabila pegawai yang pernah berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan terlibat dalam kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa, ia memberi gambaran buruk kepada tadbir urus korporat negara.

“Ini akan memburukkan lagi persepsi antarabangsa terhadap tahap integriti dan akauntabiliti dalam syarikat milik kerajaan, sekali gus menjejaskan usaha negara untuk memperbaiki kedudukan dalam CPI global,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!