Tular aksi sekumpulan remaja tunggang basikal lajak secara berbahaya

Tangkap layar video tular aksi sekumpulan remaja didakwa menunggang basikal secara berbahaya di jambatan Jalan Teluk Wanjah, di sini, pada Jumaat.
Tangkap layar video tular aksi sekumpulan remaja didakwa menunggang basikal secara berbahaya di jambatan Jalan Teluk Wanjah, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan remaja didakwa menunggang basikal secara berbahaya sehingga menyebabkan salah seorang daripadanya hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya di jambatan Jalan Teluk Wanjah, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima makluman awam berkaitan satu video berdurasi 20 saat memaparkan kejadian itu pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman tersebut mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 petang.

"Video itu memaparkan lebih kurang lapan orang remaja yang menunggang basikal dipercayai jenis basikal lajak berlumba sesama sendiri semasa menuruni jambatan terbabit tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

"Sehingga setakat ini, pihak polis tiada menerima sebarang aduan daripada mana mana pihak berkenaan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, satu laporan polis telah dibuat oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar bagi membolehkan satu siasatan dijalankan.

Menurut Siti Nor Salawati, kes disiasat di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika disabit kesalahan, pelaku boleh didenda sebanyak RM300 atau jika sabitan itu sabitan kali kedua atau kemudiannya, denda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Polis Kota Setar meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja terlibat untuk tampil menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Ifzam Mohd Zaini di talian 012-4043373 atau Balai Polis Trafik Kota Setar di talian 04-7321222.

Menurutnya, pihak polis menasihati ibu bapa di luar sana supaya memantau aktiviti anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan ini agar tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat seumpama ini yang bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!