PPSMI: Jangan ulang kesilapan sama

Gambar kecil: Mohd Izzat Afifi Abdul
Gambar kecil: Mohd Izzat Afifi Abdul
A
A
A

SHAH ALAM - Pelbagai kajian dan rekod lampau membuktikan dasar Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal dan menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar dalam dua bidang kritikal itu.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, PPSMI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003 turut mendapat bantahan pelbagai pihak.

“Pencapaian pelajar dalam subjek Sains pada tahun 2003 sebelum PPSMI dilaksanakan berada di kedudukan 20 daripada negara yang dinilai tetapi menjunam lebih 10 anak tangga ke tempat 32 pada tahun 2011.

“Perkara yang sama juga berlaku dalam mata pelajaran Sains apabila pelajar Malaysia berada di kedudukan 16 dari negara yang dinilai pada tahun 1999 melihatkan penurunan hingga kedudukan 27 pada tahun 2011 dan hanya pulih sedikit pada kedudukan 22 pada tahun 2015 hanya setelah PPSMI dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh memandang sebelah mata penolakan PPSMI secara besar-besaran rakyat, cendiakawan dan budayawan sama ada ketika pertama kali dilaksanakan hingga sekarang.

“Berdasarkan bukti dinyatakan dan juga pelbagai laporan serta kertas perbincangan berkenaan PPSMI dibentangkan, menjadi persoalan sekarang ialah atas pertimbangan apakah pihak Kementerian Pendidikan mengambil keputusan ini?

“Atas dapatan dan bukti apakah yang membuatkan pihak Kementerian Pendidikan bertegas untuk mengembalikan polisi gagal ini tanpa mengadakan sebarang perundingan dan perbincangan terutama dengan pemegang taruh di dalam isu ini?

“Kesilapan yang lama jangan diulangi dan jangan sekali lagi dipertaruhkan masa depan anak-anak Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan mengajar Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris dengan alasan memudahkan pembelajaran sedangkan tindakan itu ternyata tidak mampu membantu meningkatkan kefahaman mata pelajaran berkenaan.

"MBM berpendirian polisi Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah formula terbaik bagi menangani isu tersebut.

“Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu seperti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 yang seharusnya diperjuangkan oleh kerajaan.

Mohd Izzat Afifi berkata, Ribuan ilmuwan dan saintis dilahirkan sistem pendidikan kebangsaan yang mengajarkan Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu.

“Banyak negara yang mengajarkan Matematik dan Sains di dalam bahasa ibunda mereka tanpa sedikit pun mengurangkan kemampuan mereka di dalam menjadi bangsa pengeluar ilmu dan teknologi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!