Jared Isaacman, 'angkasawan amatur' jelajah angkasa lepas

No Image Caption
A
A
A

NEW YORK - “Alam semesta adalah tempat yang sangat luas. Jika hanya ada kita (manusia), ia kelihatan seperti satu pembaziran ruang yang amat besar.”

Kata-kata itu pernah diungkapkan ahli astrofizik Amerika terkenal, Carl Sagan dan kira-kira hampir tiga dekad selepas pemergian beliau, bilionair, Jared Isaacman mencipta sejarah menjadi individu bukan daripada golongan angkasawan terlatih untuk melakukan perjalanan angkasa (spacewalk).

Tiada apa yang mustahil asalkan mempunyai wang bagi merealisasikan misi Polaris Dawn di bawah projek SpaceX malah usahawan berjaya itu turut mengetuai tiga kru yang lain menyertai hampir 260 angkasawan lain sebelum ini untuk menerokai ruang vakum.

Isaacman membiayai misi dengan menaiki kapal angkasa, Crew Dragon tersebut yang turut disertai dua wanita untuk sampai ke orbit pada ketinggian 700 kilometer di atas bumi.

Jumlah kos sebenar misi itu masih menjadi tanda tanya.

Majalah Time menganggarkan Isaacman membayar kira-kira AS$200 juta (RM955 juta) kepada Elon Musk yang merupakan pemilik SpaceX untuk ‘harga tiket’ keempat-empat kerusi kapal angkasa, Crew Dragon tersebut.

Beliau dikatakan mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia penerbangan dan pernah menjalani latihan juruterbang pada 2004.

Beliau amat meminati dunia penerbangan dan pernah menjalani latihan juruterbang pada 2004.
Beliau amat meminati dunia penerbangan dan pernah menjalani latihan juruterbang pada 2004.

Artikel Berkaitan:

Rupa-rupanya, Polaris Dawn bukanlah misi angkasa pertama Isaacman.

Pada 2021, beliau pernah membiayai dan mengetuai misi persendirian pertama yang membawa orang awam, Inspiration4 untuk mengorbit bumi.

Kru berkenaan berlepas dari Florida dan menghabiskan masa selama tiga hari di angkasa lepas sebelum kembali dan mendarat di Lautan Atlantik.

“Ia adalah perjalanan yang hebat buat kami. Ini hanyalah permulaan,” katanya sejurus selepas pulang dengan selamat, kira-kira tiga tahun lalu.

Kini, beliau memperluaskan lagi langkahnya untuk menerokai angkasa lepas di bawah misi Polaris Dawn dan namanya mula dikenali dalam industri aeroangkasa sebaris dengan angkasawan terkenal.

Berhenti sekolah

Jared Isaacman dilahirkan pada 11 Februari 1983 di Union, New Jersey di Amerika Syarikat (AS).

Sejak dari kecil, beliau suka mencuba sesuatu yang baharu dan gemar melakukan perkara yang dianggap mustahil.Ketika berusia 15 tahun, Isaacman berhenti sekolah dan kemudiannya mengambil peperiksaan keserataan sekolah tinggi (GED) seperti yang dikongsi beliau menerusi siri dokumentari Countdown: Inspiration4 Mission to Space di Netflix.

“Saya merupakan pelajar tercorot. Saya juga tidak berasa seronok ke sekolah,” katanya.

Pada 1999, ketika berusia 16 tahun, Isaacman mengasaskan syarikat pemprosesan pembayaran, Shift4 Payments.

Kini, ia mengendalikan urus niaga berkaitan untuk satu pertiga hotel di AS termasuk yang mempunyai nama besar, Hilton dan Four Seasons serta rangkaian makanan segera seperti KFC dan Arby's.

Menurut data laman web rasmi syarikat itu, ia memproses pembayaran berjumlah lebih AS$260 bilion (RM1.2 trilion) setahun.

Sebagai usahawan berjaya, Isaacman turut menjadi pengasas firma pertahanan yang melatih juruterbang Angkatan Tentera Udara, Draken International pada 2011 dan memiliki armada pesawat tentera persendirian terbesar di dunia.

Pada 2019, beliau menjual pegangan saham majoriti di Draken kepada Blackstone iaitu sebuah syarikat Wall Street yang membolehkannya disenaraikan sebagai salah seorang pemegang status bilionair.

Pada 2021, beliau pernah membiayai dan mengetuai misi persendirian pertama yang membawa orang awam untuk mengorbit bumi.
Pada 2021, beliau pernah membiayai dan mengetuai misi persendirian pertama yang membawa orang awam untuk mengorbit bumi.

Majalah Forbes pernah menggelar beliau sebagai ‘pencari adrenalin’ menerusi profil ahli perniagaan berjaya itu pada 2020 berdasarkan pelbagai rekod luar biasa Isaacman termasuk mencipta rekod mengelilingi dunia dengan jet ringan pada 2009.

Jumlah kekayaan beliau dianggarkan bernilai AS$1.9 bilion (RM8.9 bilion) hasil daripada kerja kerasnya sejak usia remaja meskipun tidak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Anda perlu menjalani hidup sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu bila ia akan menjadi hari terakhir,” kata bapa kepada dua puteri itu yang sentiasa mencuba perkara baharu. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!