Cuti sekolah tingkat jumlah pelancong domestik
CUTI pertengahan penggal kedua persekolahan baru sahaja bermula dan kebetulan pula Isnin ini adalah cuti umum Maulidur Rasul serta Hari Malaysia.
Mungkin inilah masanya untuk rakyat Malaysia menghabiskan masa bersama keluarga tidak kira dengan pergi bercuti atau pulang ke kampung.
Mengikut laporan, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sesak dan bergerak perlahan pada Sabtu disebabkan pertambahan jumlah kenderaan.
Ketika musim cuti sekolah ini juga lokasi-lokasi tumpuan dalam negara mula dikunjungi ramai dan ini bagus untuk perkembangan ekonomi domestik.
Sebagai contoh Rantau Panjang, Kelantan yang dilaporkan kian suram, mungkin akan kembali dikunjungi orang ramai sekali gus dapat membantu peniaga-peniaga kecil di situ.
Sebelum ini para peniaga mengakui terpaksa membeli stok barangan dari Thailand pada harga tinggi disebabkan kenaikan mata wang negara jiran dan situasi tersebut menjadi antara faktor jumlah pengunjung ke sana berkurang.
Pada masa sama, rakyat Malaysia kini juga dikatakan lebih tertarik untuk ke Thailand bagi merasai sendiri makanan dan pengalaman bercuti.
Bagaimanapun menurut Tourism Malaysia, negara mencatatkan 58.6 juta pelancong domestik bagi suku pertama tahun ini, iaitu meningkat 19 peratus berbanding 49.26 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24.1 bilion perbelanjaan pelancong domestik direkodkan mengatasi jumlah tahun lalu iaitu RM19.21 bilion.
Jumlah itu memperlihatkan perkembangan positif pelancongan domestik negara, namun penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengatasi isu kekurangan pengunjung di sesetengah lokasi yang sebelum ini pernah menjadi tumpuan utama.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan pihak berkaitan adalah meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur selain mewujudkan produk pelancongan yang lebih menarik.
Sebagai contoh kemudahan infrastruktur seperti pengangkutan dan penginapan bagi destinasi pelancongan yang terletak di kawasan pedalaman merupakan antara perkara yang harus diambil perhatian walaupun wujud pelbagai cabaran.
Penambahbaikan perlu sentiasa dilaksanakan kerana negara lain di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam begitu giat menawarkan tarikan pelancongan dan menjadi pesaing kepada Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!