10 kumpulan ajaran sesat gemparkan dunia

No Image Caption
A
A
A

GERAKAN kultus biasanya dianggotai pentaasub sesuatu kepercayaan atau amalan yang berbeza. Kumpulan tersebut dipimpin oleh individu yang manis mulut, mempunyai personaliti mempesonakan di samping ilmu keagamaan yang menyimpang hingga dapat memanipulasi pengikut mereka dan bakal ahli untuk direkrut.

Kebanyakan gerakan ini mula wujud secara meluas sekitar tahun 1970-an dan 80-an ketika ada pihak cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan 'pertempuran' antara nilai jahat dan baik dalam budaya Amerika.

Rangkaian media akhirnya dapat membongkar kewujudan kumpulan ajaran sesat tersebut dan berikut adalah 10 gerakan yang pernah menggemparkan komuniti antarabangsa.

1. The Branch Davidians

Diasaskan pada 1959 oleh David Koresh. Pada asalnya adalah sebahagian daripada Seventh Day Adventists. Koresh menggelar dirinya sebagai 'Messiah' dan menganggap kesemua wanita sebagai 'isteri spiritual' hingga tergamak meniduri setiap wanita yang menyertai kultus itu. Pada 1993, serbuan pihak berkuasa telah menyaksikan markas mereka di Waco, Texas, Amerika Syarikat (AS) dikepung selama 51 hari. Seramai 70 anggota kultus itu termasuk 22 kanak-kanak maut dalam kebakaran.

2. Order of the Solar Temple

No Image Caption

Gerakan ini diinspirasikan daripada perintah tentera Kristian abad ke-12 iaitu Knights Templar. Ia ditubuhkan oleh Joseph Di Mambro yang percaya Christ akan kembali semula sebagai 'tuhan solar'. Selama bertahun-tahun, kepercayaan kumpulan itu beralih daripada spiritual agama kepada paranoia kiamat. Pengikut kultus itu percaya untuk terselamat daripada hari kiamat, mereka perlu dilahirkan semula di planet yang mengorbit bintang Sirius. Sebahagian anggota lain di seluruh dunia mula membunuh diri termasuk menggunakan racun, tembak mati dan mati lemas.

3. The People’s Temple

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Pada 1950-an, kumpulan ini yang diasaskan Jim Jones menyampaikan ajaran tentang hak sama rata yang menarik minat golongan kulit hitam di AS. Kira-kira dua dekad selepas itu, kultus tersebut mula menjadi penyokong komunisme. Bimbang diserbu polis, pengikutnya diminta bersembunyi di dalam hutan. Pada akhir 1970-an, Jones menyuruh lebih 900 pengikutnya meminum jus dicampur racun.

4. The Chicago Rippers

No Image Caption

Kultus 'syaitan' ini dipimpin oleh Robert Gecht dan bertanggungjawab atas kehilangan 18 wanita. Gerakan ini terkenal dengan ritual kejam yang menyembelih tubuh mangsa. Pada 1981, mangsa dikenali sebagai Lisa Sutton diculik dan mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan 10 hari kemudian. Siasatan polis mendapati pengikut kultus itu memotong dan memakan payudara mangsa mereka sebagai upacara pemujaan syaitan.

5. Aum Shinrikyo

No Image Caption

Ia diasaskan warga Jepun, Shoko Asahara pada 1984. Gerakan itu melancarkan serangan gas sarin ke atas kereta api bawah tanah di Tokyo dan meragut 13 nyawa manakala ratusan lagi cedera dalam kejadian pada 20 Mac 1995. Serbuan pihak polis ke atas markas kultus itu menemukan jutaan dolar wang tunai, helikopter Rusia dan senjata kimia yang boleh membunuh sehingga empat juta orang.

6. Heaven’s Gate

No Image Caption

Gerakan ini adalah pentaasub kepada makhluk asing dan kapal angkasa. Pengikut mereka percaya bumi akan 'dikitar semula' dan satu-satunya cara untuk terselamat daripada hari kiamat adalah dengan menaiki kapal angkasa. Pemimpin mereka, Marshall Applewhite memperdaya pengikutnya untuk membunuh diri. Pada 1997, mayatnya bersama 38 pengikut kultus itu ditemui di sebuah rumah agam di Santa Fe, New Mexico.

7. Paradise

No Image Caption

Ia merupakan sebuah kumpulan ajaran sesat di Korea Selatan yang dipimpin Park Soon-ja. Dia mendakwa bercakap dengan tuhan. Gerakan itu beroperasi di sebuah kilang miliknya, Pada 1987, Soon-ja disiasat kerana didakwa mencuri wang pengikutnya. Tidak lama selepas itu, seramai 31 mayat termasuk tiga kanak-kanak ditemui di kilang itu. Pihak berkuasa percaya mereka terlebih mengambil dos dadah dan mencekik antara satu sama lain hingga mati.

8. Children of God

No Image Caption

Kumpulan ajaran sesat ini diasaskan David Berg di California. Berg menentang keras undang-undang yang melarang pedofilia. Bekas pengikutnya mendakwa Berg membenarkan hubungan seksual dengan kanak-kanak. Selepas Berg meninggal dunia, gerakan itu telah melakukan pembaharuan dan kini dikenali sebagai Famili International, namun masih diklasifikasikan sebagai kumpulan ajaran sesat malah pernah ditentang selebriti seperti Joaquin Phoenix dan Rose McGowan.

9.Doomsday cult Kenya

No Image Caption

Pastor Paul Mackenzie bersama 94 defendan berdepan tuduhan keganasan selepas penemuan lebih 440 mayat dalam kubur cetek di Hutan Shakahola di Kenya pada April 2023. Mackenzie didakwa memperdaya pengikutnya supaya berpuasa hingga mati untuk bertemu Jesus. Laporan autopsi mendapati sebahagian mangsa termasuk kanak-kanak dicekik, dipukul dan dilemaskan. Dokumen mahkamah juga menunjukkan organ telah dikeluarkan daripada beberapa tubuh mangsa.

10. The 7M TikTok Cult

No Image Caption

Tayangan Dancing for the Devil: The 7M TikTok Cult di Netflix pada Mei lalu telah membongkar kegiatan Gereja Shekinah dan syarikat pengurusan bakat, 7M Films di Los Angeles yang dikendalikan pastor Robert Shinn. Gereja itu ditubuhkan pada 1994 manakala 7M Films diasaskan Shinn pada 2021 untuk membantu bintang media sosial dan penari TikTok. Shinn menggelar dirinya sebagai 'Man of God'. Beberapa wanita mendakwa Shinn melakukan serangan seksual, penderaan emosi dan fizikal serta memanipulasi dan mengeksploitasi pengikutnya. Kes tersebut akan dibicarakan pada 2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!