Melaka alu-alukan penganjuran Festival Puisi Antarabangsa tahun depan

Mohd Ali bergambar bersama peserta Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

A
A
A

SHAH ALAM - Melaka mengalu-alukan usaha Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) untuk menganjurkan Festival Puisi Antarabangsa pada tahun hadapan di negeri bersejarah tersebut.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berkata, justeru semua pihak diharap dapat membuka ruang dan peluang bagi membincangkan mengenai rancangan berkenaan agar pelaksanaannya lebih tuntas dan komprehensif.

“Saya juga berharap Pemuisi sentiasa mengkaji agar aktiviti puisi sastera dapat dijadikan produk pelancongan supaya seni budaya negara kita dapat dipertontonkan, dinikmati, difahami dan dihayati.

“Ia juga agar budaya rentas agama ini mampu menarik pelancong asing mahupun domestik mengenail budaya warisan tempatan,” katanya.

Mohd Ali berucap pada Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 Piala Pusingan - Seri Pemuisi Malaysia di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Turut hadir Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Ahli Dewan Negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar dan Pengarah SDPAHM, Dr Shafa'atussara Silahudin.

Ujar beliau, kekerapan mengadakan pertandingan atau sayembara puisi seperti SDHAM itu pastinya memberikan pandangan berbeza daripada pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, ia berjaya memberi kesan positif termasuk menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan Pemuisi dan mengangkat karya-karya patriotisme dalam puisi.

“Saya yakin dan percaya kaedah penganjuran dalam sayembara puisi artistik ini telah dikaji dengan teliti oleh mereka yang arif dengan gerak kerja yang telah ditentukan.

“Ini satu reformasi dalam deklamasi puisi tanah air dan program ini ada kelainan daripada sayembara yang dianjurkan oleh pihak-pihak lain,” ujarnya.

Mohd Ali (dua dari kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Muhammad Nasir (kiri) selaku wakil Kumpulan Karangkraf sebagai rakan kolaborasi Majlis Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad. FOTO : SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Program bertemakan Cintai Malaysia itu berjaya menarik seramai 15 penyertaan dari semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Pertandingan berkenaan menawarkan tiga trofi utama kepada pemenang iaitu Anugerah Platinum, Emas dan Perak.

Anugerah Platinum berjaya digondol peserta dari Selangor, Ahmad Saidun Mohamad Mokhtar, 55 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, trofi dan saguhati.

Selain itu, Anugerah Emas dimenangi oleh Nor Atiekah Hidayah Hussain, 33, manakala Anugerah Perak pula diberikan kepada Dr Zainatul Abdull Rahman, 47.

Acara tersebut turut mempertandingkan pengiktirafan busana terbaik yang mana kategori wanita dimenangi oleh Nor Atiekah Hidayah dan Mohamad Amir Mohtaram, 49 bagi kategori lelaki.

Acara tersebut turut mempertandingkan busana terbaik bagi kategori wanita dan lelaki yang mana dimenangi oleh Nor Atiekah Hidayah serta Mohamad Amir Mohtaram, 49.

Peserta lain turut menerima hadiah saguhati sebagai tanda penghargaan menyertai program berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!