Penunggang maut dalam nahas lima kenderaan di LPT1
KUANTAN - Seorang penunggang maut dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal, kenderaan pacuan empat roda dan kereta di Kilometer 205, Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) arah barat di sini pada malam awal Ahad.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa, Muhammad Al-Faries Faiz Mohd Fadzli, 22, beralamat dari Kampung Sungai Rambai, Sega, Raub mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua lagi penunggang dan pemandu-pemandu kenderaan terlibat berusia 19 hingga 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua kenderaan terlibat dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR gagal mengelak kenderaan pacuan empat roda jenis Ford yang berada di lorong kecemasan lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, akibat kejadian terbabit, mangsa tercampak ke lorong kanan sebelum dilanggar motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha Y125ZR yang datang dari arah belakang.
"Sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang wanita turut terlanggar mangsa bersama motosikalnya.
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.
Menurutnya lagi, sampel darah dan air kencing mangsa akan diambil untuk tujuan toksikologi.
"Polis turut mengesan saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!