Kehadiran paus petunjuk ekosistem marin Malaysia sihat - Penyelidik

Tangkap layar penampakan mamalia marin dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang pada Sabtu lepas.
Tangkap layar penampakan mamalia marin dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang pada Sabtu lepas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehadiran paus di perairan negara menjadi indikator penting sekiranya ekosistem marin Malaysia adalah sihat dan mampu menyokong hidupan megafauna itu.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Muhammad Amirul Siddiq Abdul Rashid berkata, penampakan mamalia marin terutamanya dari spesies Humpback whale atau paus bongkok di perairan Pulau Redang pada Sabtu lepas, membolehkan pihaknya membuat pendokumentasian pola migrasi hidupan laut itu.

"Kehadiran paus daripada spesies ini jarang berlaku di Malaysia, tidak seperti spesies paus bryde. Jadi, ia memberi peluang untuk penyelidik menjalankan dokumentasi migrasi mereka selain memberi data sokongan tentang kepelbagaian biologi serta habitat yang ada di kawasan tersebut.

"Setakat ini, belum dikenal pasti lagi faktor ia muncul di Malaysia. Bagaimanapun, berdasarkan spesies Humpback whale seluruh dunia, ada kemungkinan ia merantau jauh sedikit daripada jarak biasa dari habitat asalnya di perairan dingin seperti Laut Artik atau Laut Antartika,” katanya kepada Bernama.

Amirul Siddiq berkata, paus berkenaan berdepan beberapa risiko ancaman dari aspek persekitaran lautan Malaysia iaitu berkemungkinan ‘tersangkut’ di kawasan cetek dan sekiranya itu berlaku, ia berpotensi tidak dapat berenang semula ke lautan dalam dan akhirnya berisiko lemas.

"Pencemaran plastik dan bahan kimia berbahaya juga boleh menjejaskan kesihatan paus serta sumber makanan mereka manakala perubahan suhu air akibat pemanasan global pula boleh mempengaruhi ketersediaan makanan dan pola migrasi paus serta mengubah habitat penting seperti kawasan spesies ini bersosial,” katanya.

Mengenai langkah mengatasi risiko dihadapi hidupan itu berpunca daripada komuniti nelayan, beliau berkata, DOF telah menyelenggara program pendidikan dan latihan mengenai kepentingan memelihara mamalia marin kepada kumpulan terbabit.

"Antaranya menawarkan sumber dan alat praktikal untuk membantu nelayan mengurangkan kesan aktiviti penangkapan ikan terhadap hidupan laut serta penyediaan garis panduan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab, mengelakkan tangkapan sampingan dan maklumat titik panas habitat spesies mamalia marin dan haiwan terancam lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirul Siddiq berkata, meskipun mamalia marin itu tidak membahayakan manusia namun sebarang gangguan boleh menyebabkan reaksi defensif hidupan berkenaan sekali gus menekankan mengenai Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 yang melarang sebarang bentuk gangguan terhadap paus.

"Implikasi gangguan untuk haiwan itu adalah potensi tertekan atau kecederaan fizikal. Ada juga spesies yang boleh kembali mengancam keselamatan manusia seperti killer whale, ia akan menjadi agresif sekiranya berasa terancam,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Ekologi dan Ekosistem Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Maizah Mohd Abdullah berkata, sebagai universiti yang berfokus marin dan sumber akuatik, UMT sedang membuat persiapan mengukuhkan kerangka ekonomi biru bersesuaian dengan sektor ekonomi maritim Malaysia dalam usaha memastikan kelestarian ekosistem lautan.

"Kita berharap perkara ini akan turut dibincangkan dalam perbincangan meja bulat Ekonomi Biru yang akan berlangsung di Putrajaya melibatkan pemain industri dan pihak berkepentingan termasuk wakil kerajaan tidak lama lagi.

"Kehadiran mamalia marin ini sebenarnya menyuntik semangat kami untuk bekerja keras menyelidik serta mendidik masyarakat berkaitan literasi lautan menerusi kumpulan Marine Endangered Species (MES) yang dianggotai penyelidik dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai bukti mencukupi untuk menyatakan sekiranya perairan Pulau Redang merupakan kawasan laluan paus itu memandangkan penemuan spesies berkenaan berkemungkinan adalah kali pertama.

Justeru, Maizah berkata, adalah penting untuk sebarang kemunculan Humpback whale atau mana-mana spesies mamalia marin dilaporkan kepada pihak berkaitan agar pengumpulan data boleh dibuat untuk memerhati sekiranya terdapat perubahan pola migrasi hidupan marin terancam itu.

"Tanpa data lengkap, sukar untuk penyelidik menjangka sama ada kemunculan ini menggambarkan situasi positif atau sebaliknya. Bagaimanapun, diingatkan jika terserempak dengan hidupan ini, sila jarakkan hingga 100 meter seperti garis panduan asas yang diamalkan. Segera matikan enjin bot dan jangan lakukan provokasi atau mengejarnya,” katanya.

Maizah berkata, haiwan marin bersaiz besar penting untuk ekosistem lautan kerana Humpback whale misalnya mampu menyerap purata 30 tan karbon dioksida (CO2) dan mengeluarkannya dari atmosfera selama berabad-abad berbanding sebatang pokok yang hanya menyerap hingga 48 paun CO2 setahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!