Pokok tumbang hempap tiang elektrik, orang awam perlu berhati-hati - TNB

Beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan di Pulau Pinang susulan angin kencang dan hujan lebat.
Beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan di Pulau Pinang susulan angin kencang dan hujan lebat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang awam agar berhati-hati dan mengutamakan keselamatan susulan kejadian pokok tumbang yang menghempap tiang elektrik di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah.

TNB dalam notis permaklumannya berkata, kejadian pokok tumbang itu berlaku selepas cuaca buruk yang melanda di kedua-dua negeri itu.

Menurutnya, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas akan mengambil masa berikutan kejadian pokok tumbang.

"Kira-kira tujuh kawasan di Pulau Pinang dan Kedah mengalami gangguan bekalan elektrik.

"Ia melibatkan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Balik Pulau, Tanjung Tokong, Jalan Teluk Bahang di Pulau Pinang sementara di Kedah, kawasan terlibat ialah Pendang dan Guar Chempedak.

"Susulan daripada kejadian ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar di Kedah dan Pulau Pinang, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dijangka akan mengambil masa yang panjang kerana banyak pokok tumbang yang menghempap tiang dan talian TNB," katanya.

TNB menambah, orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri talian TNB yang terjatuh atau mana-mana pepasangan elektrik yang rosak.

"Pasukan teknikal TNB juga sedang berusaha untuk memulihkannya termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan bekalan," tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui laman Facebooknya berkata, 32 daripada 79 kejadian pokok tumbang di bahagian pulau di Pulau Pinang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Terbaharu, sebatang pokok besar dilaporkan tumbang akibat hujan lebat dan ribut di Jalan CY Choy, dekat sini pada jam 8.30 malam Ahad.

MBPP berkata, kejadian itu menyebabkan laluan kenderaan di jalan raya tersebut terhalang sepenuhnya.

"Pasukan Skuad Pantas MBPP telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk tindakan serta-merta bagi mengalih halangan tersebut.

"Orang awam dinasihatkan supaya memilih laluan alternatif dan peka dengan keadaan lalu lintas terkini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!