Mohamad Ezam, Mazlan sah sertai Pas

Mazlan, Mohamad Ezam
Mazlan, Mohamad Ezam
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pas mengumumkan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Dr Mazlan Ismail menyertai parti itu secara rasmi.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kedua-dua figura itu merupakan sahabat lama dan sentiasa berhubung walaupun berbeza perjuangan dalam arena politik.

“Alhamdulillah akhirnya mereka bersama dengan keluarga besar Pas. Parti ini terbuka kepada sesiapa yang mahu bersama dan tidak pernah memaksa untuk turut serta.

“Pas hanya mengajak orang menyertai perjuangan tanpa menjanjikan bulan dan bintang. Mereka yang sertai Pas pasti faham.

“Insya-ALLAH mereka memahami dasar dan agenda perjuangan parti. Semoga mereka istiqamah dalam perjuangan Pas,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Ahad.

Penyertaan Mohamad Ezam dan Mazlan diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Muktamar Pas kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh, Pahang.

Sebelum ini, Mohamad Ezam merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika peringkat awal penubuhan parti itu.

Beliau meninggalkan UMNO dan menyertai PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Ezam kemudian kembali menyertai UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dan sekali lagi meninggalkan parti itu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tidak lama selepas menyertai Bersatu, Mohamad Ezam kemudiannya mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengumumkan penubuhan sebuah parti baru yang dikenali dengan nama Parti Bebas Rasuah.

Selepas beberapa bulan, Mohamad Ezam mengumumkan keluar daripada parti ditubuhkannya itu dan memberi perhatian kepada badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Hisbah diasaskan beberapa tahun sebelum itu.

Pada tahun 2020, Mohamad Ezam kembali ke pangkuan PKR selepas mendapat permintaan daripada akar umbi yang mahukan beliau membantu parti.

Sementara itu, Mazlan merupakan calon yang mewakili BN bertanding pada PRU13 menentang Anwar dan calon bebas, Abdullah Zawawi Samsudin.

Pada pilihan raya itu, Mazlan menerima sebanyak 25,369 undi, namun tewas pada tangan Anwar yang memperoleh 37,090 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!