Umat Islam wajar terus jadikan Rasulullah sebagai 'Uswatun Hasanah' - Anwar
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam wajar terus menjadikan Nabi Muhammad SAW yang merupakan murabbi terunggul dan teragung umat sebagai ‘Uswatun Hasanah’ atau teladan yang baik, ketika dunia kini dibadai kemarau contoh dan suri teladan.
Perdana Menteri berkata, Rasulullah wajib diberi sorotan penuh perhatian, bukan sahaja dari segi keperibadian baginda, tetapi mencakupi sisi kepimpinan negara, masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah.
"Cita-cita negara yang Madani tidak lepas dari mengambil ibrah (pengajaran) dan model Piagam Madinah yang dipelopori Baginda, berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” katanya dalam catatan di Facebook sempena Maulidur Rasul pada Ahad.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan tersebut, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan kira-kira 6,000 tetamu.
Sementara itu, dalam satu lagi hantaran di Facebook, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada enam lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, iaitu Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Datin Aminah Zakaria, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.
Penerima lain termasuk bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain; Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Sariah Ibrahim; serta Michael Tong Wai Siong, yang lebih dikenali sebagai 'Uncle Mike'.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!