'Tiada isu logo halal sebab memang tidak ada'

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak memalsukan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti didakwa.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan, produk yang tular dimedia sosial itu merupakan gambar lama.

"Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) membuat siasatan di kilang berkenaan mendapati memang tiada logo halal pada produk yang dikeluarkan.

"Tiada isu logo halal sebab memang tidak ada (logo digunakan). Selepas 2017 (apabila tamat pengesahan sijil halal) memang tidak ada logo itu digunakan," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai SPHM Jakim.

Jakim dalam satu kenyataan memaklumkan, semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk itu tidak memiliki SPHM yang sah.

Sementara itu, ditanya sama ada Jakim akan membuat pemeriksaan produk lain milik syarikat berkenaan, Mohd Na'im tidak menolak kemungkinan tersebut.

Ini kerana katanya, ia sebagai langkah berterusan untuk memastikan tiada pihak yang menyalahgunakan atau memalsukan pensijilan halal di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 9.32 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda dijadual mengurniakan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, majlis itu dihadiri kira-kira 6,000 tetamu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!