TPM, jemaah menteri ucap Selamat Hari Malaysia
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook, turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjaga hubungan baik antara kaum, memperkukuhkan perpaduan dan menanam semangat patriotik dalam jiwa setiap generasi muda.
Beliau berkata, seluruh rakyat negara ini harus bersama-sama menghadapi segala cabaran dan memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan dihormati di persada dunia.
"Sejak 1963, kita telah membina sebuah negara yang berasaskan nilai-nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan. Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan perpaduan yang terjalin di antara rakyat Malaysia adalah asas kepada kemajuan yang telah kita kecapi hari ini.
"Kemerdekaan sejati bukan hanya tentang kebebasan daripada penjajah, tetapi tentang kebebasan untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni, saling menghormati dan bersatu-padu. Selamat menyambut Hari Malaysia 2024," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, jiwa merdeka melambangkan semangat rakyat Malaysia yang sentiasa bebas dalam minda dan hati untuk mengekalkan perpaduan dan kebersamaan, walaupun berbeza pandangan, warna kulit atau pegangan agama.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru rakyat negara ini untuk terus mengukuhkan perpaduan, kebersamaan dan patriotisme demi membina negara yang teguh, bersatu, makmur dan sejahtera.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan yang dibentuk atas nama Kerajaan Perpaduan adalah manifestasi pentingnya perpaduan dalam menokhtahkan percakaran politik yang berterusan, supaya Malaysia dapat terus bergerak maju, memacu ekonomi, lebih makmur serta sejahtera.
"Tema sambutan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka' menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam mengintepretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.
"Masyarakat berjiwa merdeka juga menekankan pentingnya adab, etika dan integriti dalam setiap aspek kehidupan, selamat menyambut Hari Malaysia 2024,” katanya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebooknya, berharap rakyat Malaysia terus bersama-sama membina negara yang stabil, aman, harmoni dan gah di persada dunia, demi generasi hari ini serta masa depan.
"Selamat Hari Malaysia," katanya sambil mempelawa orang ramai untuk sama-sama menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu, Sabah malam ini.
Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata keharmonian, kesepakatan, kebersamaan dan kesepaduan merupakan menjadi kunci keberadaan Malaysia hari ini yang dibina melalui perancangan, pentadbiran dan pembangunan yang teliti.
"Didoakan semua ini kekal utuh dan diwariskan kepada anak cucu kita nanti. Masa depan mereka bermula dari masa kini. Semoga Malaysia terus maju, aman dan makmur berpanjangan," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana sentiasa menjadikan negara ini lebih baik dari semasa ke semasa.
Tidak ketinggalan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut menzahirkan ucapan selamat Hari Malaysia.
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 dan sambutan peringkat kebangsaaan tahun ini akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, malam ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!