Koronavirus: AS dituduh sebar ketakutan
BEIJING - Amerika Syarikat (AS) didakwa mencetuskan dan menyebarkan ketakutan susulan penularan koronavirus di China.
Kenyataan itu dikeluarkan Kementerian Luar China semalam selepas Washington menjadi negara pertama yang mencadangkan langkah untuk membawa pulang sebahagian kakitangan kedutaan mereka dan mengenakan larangan perjalanan terhadap pelancong dari Beijing.
“Mereka tidak menawarkan bantuan penting dan hanya buat orang ramai panik. Ia adalah contoh yang buruk,” kata jurucakapnya, Hua Chunying hari ini.
Menurutnya, China berharap negara luar akan membuat tanggapan dan pertimbangan yang munasabah serta lebih tenang berdasarkan fakta sains.
“Negara maju seperti AS dengan keupayaan dan kemudahan pencegahan wabak telah mengenakan sekatan berlebihan. Ia jelas bertentangan dengan saranan dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya lagi.
Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara AS, Robert O’Brien mendakwa Beijing tidak memberi sebarang respons terhadap tawaran bantuan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS dan pakar kesihatan.
“Wabak ini telah menjadi kebimbangan di seluruh dunia. Kami mahu membantu China dan menunggu mereka menerima tawaran tersebut,” jelasnya.
Difahamkan, Washington mula memindahkan rakyat mereka dari Wuhan pada 28 Januari lalu dan langkah tersebut disusuli beberapa negara lain.
Selain itu, Jabatan Negara AS juga bertindak meningkatkan nasihat perjalanan ke China pada hari sama WHO mengisytiharkan koronavirus sebagai Darurat Kesihatan Global dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) pada 30 Januari lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, epidemik tersebut didakwa memberi impak kepada ekonomi di China berikutan operasi di kebanyakan sektor termasuk perkilangan tergendala sejak lebih seminggu lalu.
Jurucakap Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Kebangsaan, Lian Weiliang bagaimanapun berkata, kesan wabak itu dijangka hanya untuk tempoh jangka pendek. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!