FBI siasat 'cubaan bunuh' selepas insiden tembakan berhampiran Trump

Perkhidmatan Rahsia bersama-sama dengan Pejabat Sherif Palm Beach County sedang menyiasat satu insiden melibatkan bekas Presiden, Donald Trump selepas tembakan dilepaskan di padang golf miliknya. - Foto : Agensi
Perkhidmatan Rahsia bersama-sama dengan Pejabat Sherif Palm Beach County sedang menyiasat satu insiden melibatkan bekas Presiden, Donald Trump selepas tembakan dilepaskan di padang golf miliknya. - Foto : Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Insiden tembakan berhampiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad sedang disiasat sebagai 'yang kelihatan seperti cubaan bunuh,' kata Biro Siasatan Persekutuan (FBI), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pasukan kempen Trump berkata calon presiden Republikan itu selamat selepas tembakan dilepaskan 'berhampiran beliau' di Florida.

Jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS juga mengesahkan bahawa Trump selamat selepas tembakan dilepaskan di padang golf miliknya.

"Seorang suspek telah ditahan oleh polis tempatan, yang menemukan sepucuk raifal AK-47 dengan teleskopik dan kamera di dalam semak di tempat kejadian," kata sherif Palm Beach County, Ric Bradshaw, dalam satu sidang akhbar.

Insiden ini berlaku selepas Trump ditembak dalam satu cubaan bunuh di satu perhimpunan kempen pada Julai.

Terdahulu, dpa melaporkan bahawa jurucakap Perkhidmatan Rahsia AS mengesahkan bahawa calon presiden AS, Donald Trump, berada dalam keadaan selamat selepas laporan tembakan dilepaskan.

"Perkhidmatan Rahsia, bersama-sama dengan Pejabat Sherif Palm Beach County, sedang menyiasat satu insiden perlindungan yang melibatkan bekas Presiden Donald Trump yang berlaku sejurus sebelum 2 petang," kata jurucakap Anthony Guglielmi di platform X.

Perkhidmatan Rahsia bertanggungjawab melindungi ahli politik berpangkat tinggi di AS, termasuk presiden semasa dan bekas presiden. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!