Usia bukan penghalang berkhidmat kepada masyarakat - Calon PN

Mohamad Haizan aktif berkempen mendekati pengundi pelbagai peringkat usia di DUN Mahkota.
Mohamad Haizan aktif berkempen mendekati pengundi pelbagai peringkat usia di DUN Mahkota.
A
A
A

KLUANG - Usia bukan faktor penghalang usaha berkhidmat kepada rakyat, kata calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, atau 'Coach Haizan' daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Usia ini tidak penting, yang paling utama semangat untuk bantu rakyat di kawasan Mahkota.

"Saya akan turun berkempen dekati pengundi di setiap ceruk kawasan di DUN Mahkota selama 14 hari sehingga hari mengundi 28 September," katanya.

Beliau berkata demikian ketika demikian menjawab soalan mengenai segelintir pihak mempersoalkan usianya memandangkan lawannya dari Barisan Nasional (BN) lebih muda.

Sebagai bekas pemain bola sepak, Mohamad Haizan mengakui sudah terbiasa dengan jadual yang padat di padang di samping perlu kekal sihat dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Akui Mohamad Haizan sebagai calon buat pertama kali bagi PRK, tumpuan lebih perlu diberikan sepanjang kempen.

"Buat masa sekarang, antara padang bola sepak dan kempen PRK, saya rasa kempen PRK lebih menguji.

"Ini kerana saya bukan hanya berkempen tetapi turut menyelami suara hati rakyat. Ia dipermudahkan dengan pengalaman saya yang sudah biasa dengan masyarakat di Kluang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohamad Haizan, beliau sebelum ini merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang (2021-2022), Pengerusi Persatuan Insan Prihatin Kluang, Penyelaras Rukun Tetangga Zon Kluang dan Timbalan Pengerusi Surau Al- Hidayah.

Dalam pada itu, Mohamad Haizan sempat berkongsi pasukan bola sepak kegemarannya iaitu Johor Darul Ta'zim dan Liverpool.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang itu merupakan bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1982 dan pernah mewakili Johor FA di dalam kejohanan Piala Razak dan Piala Presiden ketika itu.

Beliau juga memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!