Pulau Pinang giat promosi dua tapak perindustrian baharu

Kon Yeow mengagihkan makanan kepada orang ramai di Kompleks Padang Brown.
Kon Yeow mengagihkan makanan kepada orang ramai di Kompleks Padang Brown.
A
A
A

KERAJAAN Pulau Pinang akan terus mempromosikan dua tapak industri baharu di Batu Kawan iaitu Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) dalam menarik minat pelabur untuk melabur di kawasan tersebut.

BCTP mempunyai keluasan 154.6 hektar manakala BKIP3 seluas 251.7 hektar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini, empat pelabur sudah memulakan pelaburan di BCTP.

"Empat pelabur sudah memulakan pelaburan di BCTP yang mana, dua daripadanya sudah memulakan kerja di tapak.

"Bagaimanapun, promosi masih dijalankan untuk menarik pelabur. Promosi bagi tanah-tanah di kawasan baharu ini akan diteruskan sehingga semua tanah dijual untuk kegunaan industri," katanya pada Isnin.

Beliau ditemui di Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Program Agihan Makanan Anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Mengulas mengenai perkembangan di kedua-dua tapak industri baharu tersebut, Kon Yeow berkata, kerja-kerja tanah dan penyediaan infrastruktur sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini saya membuat lawatan di kedua-dua tapak tersebut. Saya mendapati, kerja-kerja menyediakan tapak industri bagi menampung keperluan pelabur-pelabur sedang dijalankan.

"BCTP boleh dikatakan kerja-kerja tanah, kerja-kerja menyediakan infrastruktur sedang berjalan dengan lancar, yang mana, sudah ada kilang yang masuk memulakan pembinaannya.

"Sementara BKIP3 pula, kerja tanah, kerja-kerja tebus tanah serta infrastruktur bagi Fasa 1 dan 2 dijangka akan siap pada 2026. Ini menunjukkan kesiapsiagaan beberapa ratus ekar tanah boleh ditawarkan kepada pelabur-pelabur," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang membangunkan tiga taman perindustrian baharu di daerah Seberang Perai Selatan melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.2 bilion.

Tiga taman tersebut ialah BCTP, BKIP3 dan Penang Science Park South (SPSP) seluas 70.4 hektar.

Ketiga-tiga taman perindustrian tersebut merupakan kawasan yang mula dibangunkan pada 2022 dan dijangka lengkap sepenuhnya pada 2031.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!