'The Bear' raih kemenangan awal Anugerah Emmy 2024

No Image Caption
A
A
A
'THE BEAR' meraih kemenangan awal untuk bintangnya termasuk Jeremy Allen White dan Ebon Moss-Bachrach di Anugerah Emmy ke-76, lapor PA Media/dpa berita.

Bintang Hollywood berhimpun di Peacock Theatre di Los Angeles buat kali kedua tahun ini untuk meraikan pencapaian terbaik dalam televisyen, selepas majlis pada September 2023 ditangguhkan berikutan mogok penulis dan pelakon Amerika Syarikat (AS).

Dalam monolog pembukaan mereka, pasangan hos bapa dan anak, Eugene dan Dan Levy membuat jenaka tentang 'The Bear' yang dikategori dalam komedi selepas reaksi bahawa ia seharusnya dikategorikan sebagai drama.

Siri itu mengisahkan seorang cef terkenal (Allen White) yang kembali ke Chicago untuk menguruskan perniagaan keluarga selepas kematian abangnya.

Allen White menyifatkan dirinya sebagai "amat, amat, amat bertuah" selepas memenangi Emmy pelakon utama dalam siri komedi untuk peranannya sebagai Carmen "Carmy" Berzatto.

"Rancangan ini telah mengubah hidup saya, ia telah menanamkan keyakinan bahawa perubahan adalah mungkin, perubahan itu mungkin jika anda dapat menjangkau, anda benar-benar tidak bersendirian," katanya di atas pentas.

Kemenangannya disusuli oleh bintang "Only Murders In The Building”, Selena Gomez yang merujuk pilihan raya presiden AS akan datang ketika beliau memperkenalkan anugerah pertama kepada pelakon AS Moss-Bachrach, pelakon pembantu terbaik dalam siri komedi untuk peranannya sebagai pengurus restoran Richard "Richie" Jerimovich dalam "The Bear”.

Gomez, yang berkongsi pentas dengan rakan pelakonnya, Martin Short dan Steve Martin, berkata: "Izinkan saya katakan betapa besarnya penghormatan untuk bekerja dengan dua lelaki yang hampir menjadi wanita tua tanpa anak yang membela kucing.”

Jenaka itu merujuk kepada komen yang dibuat oleh rakan calon Donald Trump, JD Vance.
Artikel Berkaitan:


Majlis itu juga menyaksikan Liza Colon-Zayas memenangi Emmy untuk pelakon pembantu wanita terbaik bagi peranannya sebagai Tina dalam "The Bear” sambil memberitahu penonton bahawa beliau "menghormati wanita dalam kategori itu termasuk Carol Burnett dan Meryl Streep."

Merujuk kepada pilihan raya presiden yang akan datang, beliau menambah: "Kepada semua orang Latin yang melihat saya, teruskan percaya dan mengundi, undi hak anda." - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!