Pemberian interim RM600 juta hanya gula-gula politik - Ronald

Ronald Kiandee
Ronald Kiandee
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan kerajaan Persekutuan yang hanya menaikkan pemberian interim kepada RM600 juta tidak akan menyelesaikan isu utama mengembalikan semula peruntukan wajib 40 peratus kepada Sabah.

Sebaliknya, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Ronald Kiandee menyifatkan pemberian khas interim RM600 juta itu hanya gula-gula politik daripada kerajaan Persekutuan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, rakyat Sabah sudah mengetahui bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan kewangan kepada semua negeri dalam Persekutuan.

"Namun bagi Sabah terdapat peruntukan wajib tambahan 40 peratus iaitu di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang perlu diberikan.

"Peruntukan ini adalah suatu peruntukan tetap yang dikira daripada jumlah cukai yang dikutip di Sabah yang kemudiannya diberikan kepada Persekutuan. Semakin besar kutipan cukai itu, maka semakin besar pemberian 40 peratus yang perlu diterima oleh Sabah," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ketua Perikatan Nasional (PN) Sabah berkata, kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan nilai sebenar cukai yang diterima dari Sabah bagi membolehkan pengiraan pemberian 40 peratus yang lebih telus dan tepat.

"Ini kerana pemberian khas interim sebanyak RM600 juta mestilah berdasarkan nilai kutipan cukai yang telah dikenal pasti yang mana terdapat pendapat bahawa kutipan cukai Sabah kini sudah mencapai suatu nilai yang lebih besar daripada jangkaan sebenar.

"Oleh itu, tanpa mengetahui nilai sebenar kutipan cukai, maka pemberian khas interim RM600 juta ini boleh disifatkan hanyalah sebagai gula-gula politik daripada kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Manis tetapi rasanya sekadar di hujung lidah, sedangkan kemanisan sebenar adalah pemberian yang tetap dan lebih besar," katanya.

Sehubungan itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kerajaan Persekutuan dan Sabah perlu mengakui bahawa bayaran interim ini tidak mencerminkan kedudukan pemberian tetap 40 perarus kepada Sabah.

"Selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan sempena hari Malaysia, bayaran interim khas perlu ditukar kepada bayaran tetap 40 peratus di bawah Perlembagaan.

"Kerajaan Persekutuan kini sudah tidak boleh memberi alasan dan berdalih lagi daripada menghormati Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakan peruntukan yang termaktub kepada rakyat Sabah.

"Bagi rakyat Sabah pemberian interim ini bukan penyelesaian malah ia lebih bersifat tidak menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.

"Seharusnya keberadaan Sabah dalam Malaysia dihormati dan dilayan sebagai rakan kongsi yang setara dalam semua aspek termasuk dalam soal perolehan pembangunan," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 pada Khamis lalu, mengumumkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta mulai tahun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!