KPWKM rancang bina depoh bencana di Sibu dan Miri - Nancy
KOTA SAMARAHAN - Dua depoh simpanan keperluan bencana akan dibina di Sarawak, masing-masing di Sibu dan Miri, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata, kementeriannya sedang memuktamadkan lokasi yang sesuai untuk penempatan depoh berkenaan bagi memenuhi keperluan mangsa bencana di kawasan tersebut.
"Seperti di Sibu, kita perlu kenal pasti lokasi paling sesuai kerana Sibu sering dilanda banjir. Begitu juga di Miri, kita perlu mencari tempat yang tidak terdedah kepada banjir. Setelah itu, barulah proses tender akan dijalankan.
"Di Miri dan Sibu, setakat ini kita menggunakan mini depot, walaupun saiznya kecil dan tidak mencukupi, yang penting bekalan sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan Konvoi Kembara KASIH KPWKM di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan, hari ini.
Nancy berkata selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga merancang untuk membina mini depoh di bahagian lain di seluruh Sarawak berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa kini.
Menurutnya, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Samarahan yang menempatkan pelbagai peralatan asas seperti khemah, bantal dan kerusi roda, mampu menyediakan bantuan kepada 30,000 mangsa di kawasan selatan Sarawak termasuk Serian, Kuching dan Samarahan.
Konvoi Kembara KASIH KPWKM 2024, yang melibatkan 40 kenderaan dan empat aset KPWKM, akan menjelajah ke lapan daerah di Sarawak meliputi Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan Lawas.
Pelbagai program dan perkhidmatan percuma ditawarkan agensi di bawah KPWKM sepanjang kembara itu yang berlangsung sejak semalam sehingga 22 September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!