JPN KPKT tak pernah keluarkan notis kontrak secara pilihan
PUTRAJAYA - Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak pernah mengeluarkan Notis Kontrak Secara Pilihan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah JPN N. Jayaselan berkata Notis Kontrak Secara Pilihan bukan program mahupun penyelarasan oleh JPN.
“Mengikut siasatan oleh pihak kami, kewujudan organisasi ini dan notis kontrak pembangunan dan pembinaan secara terpilih bagi projek di bawah Suruhanjaya Perumahan Negara (SPN) adalah juga tidak sahih.
“Pihak JPN, KPKT juga menafikan mengeluarkan sebarang notis kontrak pembangunan dan pembinaan secara terpilih pelbagai perumahan jenis mampu milik dan pembangunan semula, pembinaan semula serta pemulihan projek-projek terbengkalai dan projek-projek sakit,” katanya.
Sehubungan itu, Jayaselan berkata KPKT ingin menasihati kepada orang awam agar memberi maklumat dan melaporkan kepada KPKT, JPN atau kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang notis atau surat tawaran yang berunsurkan penipuan.
Maklumat boleh disalurkan melalui e-mel pro@kpkt.gov.my atau penguatkuasaJPN@kpkt.gov.my, telefon: 03-8000 8000 atau melalui laman media sosial Facebook KPKT: @KPKT Malaysia, Facebook JPN: Jabatan Perumahan Negara(JPN) atau Twitter KPKT: @kpkt_gov dan Twitter JPN: @perumahanJPN.
“Pihak pemaju perumahan dan kontraktor pembinaan juga boleh menyemak kesahihan sesuatu insentif/skim/program yang diperkenalkan oleh pihak Jabatan dengan melayari portal rasmi JPN iaitu http://ehome.kpkt.gov.my atau sekiranya terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan, orang ramai boleh berhubung terus dengan kami,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!