Tapak pelupusan Tanjung Langsat dilencongkan ke TPSS
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memandang serius kebakaran tapak pelupusan sampah di Tanjung Langsat Pasir Gudang yang masih dalam proses pemadaman.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, kebakaran yang berlaku sejak semalam itu masih berlarutan sehingga kini.
"Bagi melancarkan operasi pemadaman, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) selaku pihak pengurusan tapak pelupusan berkenaan telah mendapat kelulusan daripada pihak SWCorp Johor untuk melencongkan operasi pelupusan sampah tersebut.
"Operasi tapak pelupusan dari Tanjung Langsat akan dilencongkan ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong (TPSS) selama sebulan bermula semalam sehingga 2 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, anggota bomba sedang giat berusaha memadam kebakaran selain pemantauan kualiti udara secara berterusan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
Chen Choon berkata, operasi pemadaman akan dilaksanakan membabitkan proses penyejukan tapak dan kerja membaik pulih tapak berkenaan untuk beroperasi seperti biasa kelak.
"Anggaran tempoh masa selama empat minggu diperlukan bagi memastikan operasi berkenaan dilaksanakan dengan efektif," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!